Harga Kawalan, Subsidi Telur Ayam Ditamatkan Dalam Dua Fasa, Bermula Esok
PUTRAJAYA — Kawalan harga dan subsidi telur ayam akan ditamatkan secara berfasa bermula Khamis ini, sebagai langkah penyasaran semula subsidi di bawah inisiatif Kerajaan Madani.
Perkara itu dimaklumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, kadar subsidi telur ayam akan dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji bermula esok manakala pemberian subsidi sepenuhnya akan ditamatkan pada 1 Ogos depan.
“Keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang cukup dan terjamin berikutan kos pengeluaran yang telah stabil.
“Ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang lalu di mana ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga yang kompetitif,” menurut kenyataan itu.
Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, Kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik COVID-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia ke atas harga import soya dan jagung bijian.
Kerajaan juga telah mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu ialah sesuatu yang tidak mampan kepada kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.
Selain itu, langkah penyasaran semula subsidi juga adalah lebih adil memandangkan ketika ini, subsidi turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Hasil penjimatan daripada peruntukan tersebut kelak boleh digunakan untuk pembiayaan projek-projek tertentu untuk kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai-nilai MADANI.
Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berhubung isu bekalan telur melalui e-emel rasmi KPKM di alamat [email protected] atau melalui hotline Ibu Pejabat KPKM Putrajaya 03-8000 8000.
https://www.facebook.com/kpkmmalaysia/posts/pfbid0exMbjkjKbiZeqxWkWyT1HRcVMt2DSbepErEwAzw5kpGDu76EdLctXyTstAEpGaCil