JERUSSALAM — Usaha memadam kebakaran hutan yang masih marak di pinggir Baitulmaqdis terus dipergiat apabila Israel memohon bantuan lapan pesawat pemadam kebakaran dari Itali dan Cyprus.
Menurut kenyataan Pasukan Bomba dan Penyelamat Israel, kesemua pesawat itu dijangka tiba hari ini bagi membantu operasi pemadaman kebakaran.
Sehingga kini, pasukan bomba masih bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di 11 lokasi berasingan, manakala tujuh kawasan penempatan kekal dikosongkan.
Sebelum ini, sebanyak 10 pesawat pemadam kebakaran dan 119 pasukan bomba terlibat dalam usaha memadam kebakaran tersebut.
Israel Isytihar Darurat
Semalam, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mengisytiharkan Israel dalam keadaan darurat selepas asap tebal menyelubungi lebuh raya berdekatan Jerusalem akibat kebakaran hutan.
Agensi penyelamat Israel, Magen David Adom (MDA) melaporkan ratusan orang awam terdedah kepada bahaya akibat kebakaran hutan terburuk dalam beberapa tahun ini.
Menurut agensi berkenaan, seramai 22 orang termasuk 12 mangsa telah dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan. Kebanyakan mangsa dilaporkan menerima rawatan selepas terhidu asap kebakaran. Agensi tersebut turut menambah, amaran yang dikeluarkan ketika ini telah ditingkatkan ke tahap tertinggi.
“Kami sedang menghadapi keadaan darurat dan semua pasukan yang ada mesti digerakkan bagi menyelamatkan nyawa serta mengawal kebakaran,” kata Katz dalam satu kenyataan.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan MDA, pasukan penyelamat dan ambulan telah berada di kawasan komuniti berdekatan lokasi kebakaran bagi memberi rawatan dan bantuan perubatan kepada para penduduk.
Pihak polis turut menyekat laluan utama Lebuh Raya Jerusalem-Tel Aviv serta memindahkan penduduk di sepanjang laluan. Ia berikutan kebakaran hutan yang sekali lagi berlaku di kawasan yang telah terbakar pada minggu lalu.
“Sepasukan besar polis sedang bertugas di lokasi akibat kebakaran yang merebak di kawasan Rout 1 dan Bukit Jerusalem. Orang awam diminta untuk tidak menuju ke arah lokasi berkenaan,” umum pihak polis menerusi laman X.
Sumber: Times Of Israel