Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dua Lebuh Raya Terpanjang Di Israel Ditutup 

Hannah
LEBUH RAYA ISRAEL DITUTUP
Sumber: Anadolu Ajansı

Dua Lebuh Raya Terpanjang Di Israel Ditutup

Pihak berkuasa Israel telah menutup dua lebuh raya terpanjang di sana pada Ahad selepas hujan lebat menyebabkan banjir besar melanda kawasan selatan.

Kejadian ini sekali gus menambah lagi beban kepada mereka yang baru sahaja dilanda kebakaran hutan besar beberapa hari lalu.

Menurut kenyataan daripada pihak polis, Lebuh Raya 90, iaitu laluan paling panjang di Israel sepanjang kira-kira 480 kilometer, telah ditutup di beberapa bahagian utama.

Antara kawasan yang terjejas termasuk bandar Samar, Persimpangan Menucha dan Kibbutz Ketura akibat air banjir yang melimpah masuk ke atas jalan.

Lebuh raya ini merupakan laluan penting yang menghubungkan Metula di sempadan utara Israel dengan Lubnan, menyusuri pantai barat Tasik Galilea dan melalui Lembah Jordan.

Ia turut merentasi pesisir barat Laut Mati dan Lembah Arava sebelum berakhir di bandar pelancongan Eilat di selatan.

Dalam masa yang sama, jalan keluar dari Eilat ke arah Be’er Ora turut ditutup, begitu juga Lebuh Raya 12 yang menjadi laluan utama keluar masuk bandar itu.

Menurut Anadolu Ajansı, maklumat ini disahkan oleh penyiar rasmi Israel, KAN.

BACA: 30 Jam Padam Kebakaran, Israel Hadapi Satu Lagi Insiden Kebakaran Hutan

Turut ditutup ialah Lebuh Raya 40, iaitu lebuh raya kedua terpanjang di Israel sepanjang 302 kilometer. Jalan itu ditutup sepenuhnya dari Mitzpe Ramon ke Persimpangan Tsihor di kedua-dua arah.

Lebuh raya ini memainkan peranan penting menghubungkan kawasan tengah negara seperti Kfar Saba di utara hingga ke Beersheba di selatan.

Dalam perkembangan berkaitan, polis telah mengeluarkan kemas kini lalu lintas dan notis penutupan jalan di seluruh wilayah selatan.

Pasukan keselamatan juga dikerahkan dalam jumlah besar di sekitar Eilat bagi membantu kelancaran operasi dan menasihati orang awam agar mematuhi arahan keselamatan.

BACA: Kebakaran Hutan: Israel Minta Bantuan Luar

Bencana banjir ini berlaku hanya beberapa hari selepas Israel berdepan kebakaran hutan paling dahsyat dalam beberapa tahun.

Bermula pada Khamis lalu, kebakaran tersebut telah memusnahkan kira-kira 20,000 dunam (4,940 ekar) kawasan hutan di antara Baitulmaqdis dan Tel Aviv.

Seramai 21 orang dilaporkan cedera manakala 10 buah pekan terpaksa dipindahkan demi keselamatan penduduk.

Api marak dengan pantas kerana suhu tinggi dan tiupan angin kencang, dan hanya berjaya dikawal selepas 31 jam operasi pemadaman.

Punca kebakaran masih dalam siasatan. Namun, media tempatan termasuk KAN melaporkan kemungkinan kecuaian pengunjung taman sebagai puncanya, dan bukan perbuatan khianat atau pembakaran sengaja.

BACA: Ribut Pasir Pula Landa Israel

Sumber: Anadolu Ajansı