Dah Bergelar “Suri Rumah”, Ini Perlindungan Yang Setiap Wanita Perlu Ada & Tahu
Sudah bergelar suri rumah bukan bermakna tugas anda terhenti di dapur semata-mata.
Hakikatnya, menjadi suri rumah sepenuh masa adalah satu tanggungjawab yang cukup ‘mencabar’.
Namun, di sebalik kesibukan mengurus rumah tangga, masih ramai wanita terlepas pandang satu perkara penting — perlindungan diri dan masa depan.
Lebih membimbangkan, ada wanita yang menyerahkan sepenuhnya urusan kewangan dan perlindungan diri kepada pasangan, tanpa memahami secara mendalam hak dan keperluan mereka sendiri.
Sikap terlalu bergantung ini boleh membawa padah sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini di kemudian hari.
Justeru, amat penting untuk setiap wanita, tanpa mengira status, usia atau latar belakang, mengambil inisiatif untuk memahami keperluan perlindungan diri dan masa depan.
Suri rumah ‘wajib’ ambil tahu maklumat Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR)

Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang berkuat kuasa sejak 1 Disember 2022, diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022.
Ia bertujuan memberi perlindungan kepada suri rumah yang mengalami kemalangan, penyakit atau apa-apa insiden semasa melakukan urusan berkaitan rumah tangga sehingga menyebabkan hilang upaya kekal atau keilatan yang menjejaskan keupayaan suri rumah untuk menguruskan rumah tangganya.
Perlindungan Bencana Domestik
Bencana domestik boleh berlaku di dalam atau di luar rumah yang menyebabkan kecederaan diri kepada seseorang suri rumah akibat daripada dan semasa menguruskan rumah tangganya.
Faedah yang bakal diterima pemohon berkelayakan adalah:
1. Faedah Perubatan
2. Faedah Hilang Upaya Kekal
3. Elaun Layanan Sentiasa
4. Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis
5. Faedah Pengurusan Mayat
6. Pencen Penakat
Perlindungan Keilatan

Skim SKSSR juga melindungi suri rumah yang ditimpa penyakit atau keuzuran yang mana penyakit atau keuzuran tersebut diperakukan keilatannya oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan.
Faedah yang bakal diterima pemohon berkelayakan adalah:
1. Elaun Keuzuran
2. Elaun Layanan Sentiasa
3. Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis
4. Faedah Pengurusan Mayat
5. Pencen Penakat
Cara Pendaftaran & Pembayaran Caruman
Pendaftaran dan pembayaran SKSSR boleh dibuat di mana-mana pejabat PERKESO atau menerusi portal Suri Rumah PERKESO suri.perkeso.gov.my atau layari laman web rasmi PERKESO www.perkeso.gov.my.
Syarat Kelayakan
Syarat kelayakan bagi permohonan SKSSR adalah seperti yang berikut:
1. Suri rumah warganegara Malaysia/pemastautin tetap yang belum mencapai umur 55 tahun.
2. Bagi penyertaan kali pertama, umur suri rumah hendaklah tidak melebihi 54 tahun.
3. Membayar caruman bagi tempoh 12 bulan yang dibayar terlebih dahulu (in advance).
Caruman

Caruman adalah seperti yang berikut:
1. Caruman sebanyak RM120 yang perlu dibayar terlebih dahulu (in advance) bagi tempoh 12 bulan berturut-turut.
2. Caruman boleh dibuat oleh suami, suri rumah, keluarga atau mana-mana pihak ketiga bagi suri rumah tersebut.
3. Sekiranya seorang suami memilih untuk membuat caruman untuk isterinya, prinsip ‘once in, always in’ akan terpakai bagi memastikan suri rumah mendapat perlindungan yang berterusan.
4. Jika suami tidak berupaya untuk meneruskan caruman disebabkan hilang pendapatan dan sebagainya, PERKESO perlu dimaklumkan dalam tempoh 60 hari sebelum tamat tempoh caruman sedia ada.
Cara Tuntutan Faedah SKSSR
Cara tuntutan faedah SKSSR boleh dibuat di mana-mana kaunter pejabat PERKESO dengan melengkapkan Borang Tuntutan Faedah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah – Borang SR 6.
Untuk maklumat lebih lanjut berkaitan SKSSR, pemohon boleh klik di sini.
Ketahui hak anda demi masa depan yang terjamin
Walaupun ramai wanita hari ini sudah memiliki kerjaya dan simpanan, itu sahaja belum cukup.
Kehidupan penuh dengan kemungkinan yang tidak dijangka, dan “sediakan payung sebelum hujan” adalah kunci untuk terus melangkah.
Perlindungan diri bukanlah satu beban, sebaliknya ia adalah lambang cinta dan penghargaan terhadap diri sendiri.
Ia menunjukkan bahawa anda menghargai kesihatan, masa depan dan kebajikan keluarga.
Wanita yang bijak bukan hanya memikirkan soal hari ini tetapi turut merancang hari esok dengan teliti.
Menerusi SKSSR, kini lebih ramai wanita, terutamanya suri rumah, boleh mendapatkan perlindungan yang sewajarnya.
Jangan tunggu saat getir untuk bertindak. Lindungi diri, hargai masa depan anda.
Anda layak untuk rasa selamat, dihargai dan diberi perlindungan seperti mana yang anda berikan kepada orang lain setiap hari.