Pakistan Dakwa Tembak Jatuh Lima Pesawat India
ISLAMABAD — Pakistan mendakwa telah menembak jatuh lima pesawat milik Tentera Udara India semasa serangan udara yang dilancarkan oleh India awal pagi Rabu, lapor CNN.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Pakistan memaklumkan bahawa pesawat yang ditembak jatuh termasuk tiga jet pejuang Rafale, satu MiG-29, satu SU-30 serta sebuah dron.
Dakwaan itu dibuat selepas India menyasarkan peluru berpandu di beberapa lokasi di wilayah Punjab dan Kashmir yang ditadbir Pakistan.
Bagaimanapun, maklumat berhubung lokasi kesemua pesawat itu ditembak tidak didedahkan.
Setakat ini, India tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pengesahan dakwaan itu.
Lapan Orang Disahkan Terbunuh
Dalam serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh India ke arah wilayah Pakistan pada awal Rabu, mengakibatkan lapan orang disahkan terkorban.
Menurut laporan AFP, Kerajaan India berkata mereka telah melakukan ‘serangan tepat di kem pengganas’ di sembilan kawasan di Kashmir yang ditadbir Pakistan.
Tentera India dalam satu video yang disiarkan di X pula berkata ‘keadilan telah ditegakkan’.
Serangan itu berlaku beberapa hari selepas India mendakwa Pakistan bertanggungjawab ke atas serangan maut di bahagian wilayah ditadbirnya.
BACA JUGA: India Arah Warga Pakistan Tinggalkan Negara Sebelum 29 April
Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif berkata lapan orang termasuk seorang kanak-kanak telah terbunuh dalam serangan itu.
“Tindakan balas sudah bermula. Kami tidak akan mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan masalah,” katanya kepada AFP
Beliau juga menuduh Perdana Menteri India, Narendra Modi melancarkan serangan untuk menaikkan populariti dalam negaranya.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif pula menyifatkan serangan India sebagai tindakan pencerobohan keji yang tidak terlepas dari hukuman.
Dalam pada itu, India telah dijangka bertindak balas secara ketenteraan susulan serangan ke atas pelancong di Kashmir yang ditadbirnya pada 22 April. Mereka mendakwa serangan itu dilakukan oleh satu kumpulan yang berpangkalan di Pakistan.
Serangan di kawasan tumpuan pelancong, Pahalgam itu menyebabkan 26 orang terbunuh. Bagaimanapun, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab.
Sumber: CNN