Bill Gates Rancang Derma $200 bilion Dalam Tempoh Dua Dekad
NEW YORK — Pengasas bersama Microsoft, Bill Gates berhasrat untuk menyumbangkan hampir keseluruhan kekayaannya yang dianggarkan berjumlah $200 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang, lapor CNBC News.
Usaha pembahagian hartanya bertujuan membantu golongan miskin melalui Yayasan Bill & Melinda Gates sebelum menutup yayasan itu menjelang tahun 2045.
Difahamkan, beliau telah lama berikrar untuk menyumbangkan sebahagian besar kekayaannya kepada kerja-kerja amal.
Tambahan lagi, beliau pernah menyatakan hasrat untuk keluar dari senarai orang terkaya dunia dalam satu hantaran di media sosial pada tahun 2022.
Antara matlamat utama yang digariskan Gates dalam dua dekad mendatang termasuk mengurangkan kadar kematian ibu dan kanak-kanak akibat penyakit yang boleh dicegah, membasmi penyakit seperti polio, malaria, campak dan penyakit Guinea-worm;
Selain itu menyumbang kepada kemajuan dalam pendidikan dan pertanian di negara-negara Afrika untuk membantu ratusan juta orang keluar daripada kemiskinan.
Untuk makluman, Yayasan Bill & Melinda Gates telah ditubuhkan pada tahun 2000.
BACA: Robert Prevost Dipilih Sebagai Paus Baharu, Pilih Nama Leo XIV
Ia telah menyumbangkan lebih $100 bilion kepada pelbagai inisiatif global, terutamanya dalam usaha membasmi penyakit dan kemiskinan, menangani perubahan iklim serta memperluaskan akses kepada kesihatan dan pendidikan.
Terdahulu, Bill Gates mengakui bahawa mempunyai jumlah wang tunai yang banyak boleh membuatkan seseorang itu ‘lupa diri’ dengan realiti dunia, lapor Mirror.
Jutawan itu menyatakan sedemikian ketika meluangkan masa dengan wawancara bersama perbincangan Reddit berhubung topik perubahan iklim, ChatGPT dan telefon pintar yang sedang dia gunakan.
Apabila ditanyakan berkenaan keadaan ketidaksamaan semasa di dunia, Gates bersikap realistik terhadap soalan yang diajukan.
“Dari segi orang kaya, saya fikir mereka harus membayar lebih banyak cukai dan mereka harus memberikan kekayaan mereka dari masa ke masa. Ia sangat memuaskan bagi saya dan ia juga merupakan pekerjaan sepenuh masa saya,” jawab Gates terhadap soalan berkenaan.
Apabila ditanya tentang kewujudan bilionair yang beretika, beliau menjawab: “Menjadi kaya dengan mudah boleh membuat anda ‘lupa diri’.”
Sumber: CNBC News