Siakap Keli
Nak Melancong ke Vietnam? Elak Ditipu Dengan 9 Tip Ini
Gambar AI

Nak Melancong ke Vietnam? Elak Ditipu Dengan 9 Tip Ini

Nak Melancong ke Vietnam? Elak Ditipu Dengan 9 Tip Ini

Vietnam merupakan destinasi pelancongan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bukan sahaja kerana keindahan alam semula jadinya yang memukau seperti sawah padi bertingkat di Sapa, Teluk Ha Long yang menakjubkan dan pantai-pantai tropika yang indah.

Tempat-tempat ini juga terkenal kerana memiliki kekayaan sejarah serta kebudayaannya yang unik, selain kos percutian yang masih dianggap berpatutan jika dibandingkan dengan negara-negara lain di rantau Asia Tenggara.

Walau bagaimanapun, seperti mana-mana destinasi luar negara, pelancong perlu mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak menjadi mangsa kepada situasi yang tidak diingini seperti penipuan, masalah komunikasi dan risiko keselamatan.

Justeru, bagi memastikan pengalaman anda yang nak melancong ke Vietnam benar-benar menyeronokkan dan bebas daripada sebarang insiden, berikut kami kongsikan 9 tip penting dan praktikal dalam artikel ini untuk elak anda ditipu ketika pengembaraan ke negara yang indah ini.

1. Elakkan ditipu oleh pemandu teksi

Walaupun teksi nampak seperti pilihan pengangkutan yang mudah dan cepat, tidak semua pemandu di Vietnam bersikap jujur.

Terdapat banyak laporan pelancong yang dikenakan tambang berganda atau dibawa melalui laluan yang lebih jauh semata-mata untuk menaikkan harga.

Untuk lebih selamat dan jimat, anda disarankan untuk menggunakan aplikasi e-hailing seperti Grab. E-hailing seperti ini dapat memberikan anggaran harga yang tepat serta lokasi pemandu secara langsung.

Sesetengah teksi juga menggunakan meter palsu yang berjalan lebih laju daripada biasa tanpa disedari penumpang.

Bagi pelancong yang pertama kali ke Vietnam, sebaiknya elakkan mengambil teksi secara rawak di tepi jalan dan pilih kenderaan dari syarikat teksi berdaftar yang lebih dipercayai.

2. Kenali sistem bas waktu malam

Di Vietnam, bas malam (night bus) sangat popular dalam kalangan backpacker kerana ia menjimatkan kos penginapan dan membolehkan anda bergerak dari bandar ke bandar seterusnya sambil tidur.

Namun, tidak semua syarikat bas menawarkan tahap keselesaan yang sama.  Adabas yang sempit dan tidak bersih. Jadi, buatlah sedikit kajian mengenai reputasi syarikat bas dan baca ulasan daripada pelancong lain sebelum membuat tempahan.

Tambahan pula, ada sesetengah bas yang tidak menepati masa atau membuat hentian tidak seperti yang dijadualkan. Ini menyebabkan perjalanan anda akan menjadi lebih lama dari yang sepatutnya. Pastikan juga anda membawa jaket atau selimut kecil kerana pendingin hawa dalam bas malam selalunya dipasang terlalu sejuk.

Elak Ditipu Dengan 9 Tip Ini Sekiranya Anda Nak Melancong ke Vietnam

3. Utamakan keselamatan jika menyewa motosikal

Menyewa motosikal adalah salah satu cara terbaik untuk anda menerokai Vietnam secara bebas. Tetapi, aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan.

Anda disarankan untuk sentiasa memakai topi keledar, patuhi peraturan jalan raya, dan elakkan menunggang di kawasan sibuk jika anda tidak biasa dengan suasana trafik yang agak huru-hara.

Ingat, kemalangan kecil boleh menjejaskan keseluruhan percutian anda.

4. Tak perlu tukar banyak duit ke Dong

Menariknya, banyak tempat di Vietnam terutamanya kawasan pelancongan menerima bayaran dalam Ringgit Malaysia (RM).

Oleh itu, anda tidak perlu menukar wang dalam jumlah yang besar kepada mata wang Dong. Namun, tetap sediakan sedikit duit tempatan untuk kemudahan membeli di kedai kecil atau kawasan luar bandar.

Ini bukan sahaja memudahkan urusan pembelian, malah membantu anda mengelak daripada dikenakan kadar pertukaran yang tidak berbaloi di tempat-tempat tertentu.

Walau bagaimanapun, adalah lebih selamat untuk menyimpan wang dalam beberapa bahagian berasingan dan elakkan membawa jumlah tunai yang terlalu banyak ketika keluar berjalan.

BACA : Tanda-Tanda Serangan Jantung Yang Perlu Anda Tahu, Jangan Abaikan

5. Jangan pakai barang kemas 

Ketika berada di vietnam juga, anda dinasihatkan untuk tidak memakai barang kemas atau aksesori berharga yang boleh menarik perhatian pencuri.

Kes ragut dan cubaan mencuri sentiasa berlaku disana. Terutama di kawasan sesak seperti pasar malam atau tempat tumpuan pelancong.

Simpan barang berharga anda di tempat yang selamat dan berpakaianlah secara sederhana.

6. Berhati-hati dengan pickpocket

Kecurian secara halus seperti pickpocket sering berlaku tanpa disedari di Vietnam. Adalah lebih baik untuk anda membawa beg silang yang boleh dipeluk ke depan dan jangan sesekali leka ketika berada dalam kesesakan orang ramai.

Simpan barangan penting seperti pasport dan wang tunai di tempat berasingan sebagai langkah berjaga-jaga.

Selain itu, elakkan menunjukkan barang berharga seperti telefon pintar atau kamera secara berlebihan di tempat awam kerana ia boleh menarik perhatian pencuri.

Sekiranya berlaku kecurian, segera laporkan kepada pihak berkuasa tempatan dan hubungi kedutaan Malaysia untuk bantuan lanjut.

7. Barang yang dibeli tidak boleh ditukar

Sikap perniagaan di Vietnam adalah sedikit berbeza. Sekiranya anda telah membeli sesuatu barang, kebarangkalian untuk menukar atau memulangkannya amatlah tipis, walaupun terdapat kecacatan.

Oleh itu, periksa dengan teliti sebelum membuat sebarang pembelian. Kebanyakan peniaga di pasar atau kedai kecil juga tidak menyediakan resit rasmi.

Ini menjadikan urusan pemulangan hampir mustahil. Jadi, pastikan anda bertanya secara jelas mengenai keadaan produk dan fungsi barangan sebelum bersetuju untuk membeli terutamanya barangan elektronik atau pakaian.

8. Gunakan khidmat pemandu pelancong jika perlu

Sekiranya anda berdepan masalah komunikasi atau kekeliruan tentang lokasi di Vietnam, jangan segan untuk mendapatkan bantuan daripada pemandu pelancong yang bertauliah.

Mereka bukan sahaja membantu menjelaskan sejarah dan budaya setempat, malah memudahkan urusan anda sepanjang lawatan.

Pemandu pelancong juga dapat memberikan cadangan mengenai tempat makan yang terbaik dan aktiviti menarik yang mungkin tidak terdapat dalam panduan pelancongan biasa.

Dengan pengetahuan mendalam mereka tentang destinasi, anda boleh merasai pengalaman yang lebih autentik dan mengelakkan kekeliruan yang mungkin timbul sepanjang perjalanan.

9. Pandai-pandailah untuk menawar harga

Seni tawar-menawar adalah kemahiran yang sangat berguna di Vietnam. Terutamanya di pasar tradisional atau kedai kecil. Jangan terkejut jika harga awal yang diberi jauh lebih tinggi daripada harga sebenar.

Anda digalakkan menawar hingga 50% atau lebih. Jika penjual masih tidak mahu turunkan harga, anda boleh beredar. Biasanya, mereka akan memanggil anda semula dengan tawaran lebih munasabah.

Oleh itu, melancong ke Vietnam boleh menjadi satu pengalaman yang sangat menyeronokkan jika anda tahu tip yang diperlukan dan elak diri daripada ditipu.

Dengan sedikit persediaan dan perhatian terhadap tip-tip di atas, anda bukan sahaja dapat menjimatkan kos, malah mengelakkan sebarang kesulitan sepanjang perjalanan. Jadilah pelancong yang bijak, peka dan sentiasa berwaspada.

BACA : 13 Halatuju Selepas SPM: Sambung Belajar Atau Kerja

Sumber : tripadvisor, medium

suhaila

live your best life

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.