Hujan Lebat Dijangka Landa 12 Negeri
Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka akan melanda 12 negeri dan satu Wilayah Persekutuan hingga 7 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi satu kenyataan berkata keadaan cuaca itu akan melanda seluruh negeri Perlis, Kedah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Di negeri Pulau Pinang, ia melibatkan daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan. Manakala, di Perak melibatkan daerah Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
“Bagi negeri Kelantan, cuaca buruk dijangka hanya akan melanda daerah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.
“Di Terengganu, daerah Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman dijangka terlibat,” kata MetMalaysia.
Selain itu, daerah Tanah Tinggi Cameron, Raub, Bentong, Kuantan dan Rompin di Pahang turut dijangka akan mengalami hujan lebat.
Beralih ke Selangor, daerah yang terlibat adalah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat.
Manakala, di Negeri Sembilan hanya daerah Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin yang dijangka mengalami cuaca buruk itu.
Hujan lebat dan ribut petir juga diramal melanda daerah Alor Gajah dan Jasin di Melaka dan daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor.
BACA JUGA: Monsun Barat Daya Dijangka Bermula 10 Mei – MetMalaysia
Bagi Sarawak, ia melibatkan daerah Sibu (Kanowit dan Selangau), Mukah (Dalat dan Mukah), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu, Miri dan Limbang.
Di Sabah pula, daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Keningau), Pantai Barat (Papar), Tawau (Tawau) dan Sandakan dijangka terlibat.
Menurut MetMalaysia, Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
Dalam satu kiriman lain di Facebook, MetMalaysia juga turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama).
“Angin kencang barat daya berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan Phuket dan Selat Melaka Utara sehingga Sabtu, 17 Mei 2025.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia