Siakap Keli
legenda gusti sabu meninggal dunia
Gambar: WWE

Legenda Gusti, Sabu Meninggal Dunia

Legenda Gusti, Sabu Meninggal Dunia

Legenda gusti, Terry Brunk atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Sabu, telah disahkan meninggal dunia pada usia 60 tahun, semalam.

Berita ini diumumkan secara rasmi oleh dua badan gusti terkenal, WWE dan All Elite Wrestling (AEW), yang turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga, rakan dan peminat mendiang.

Bagaimanapun, setakat ini, punca kematian Sabu masih belum didedahkan secara rasmi, yang sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat, lapor Revista Merca 2.0.

BACA: Makelele Kongsi Sebab Kenapa Anggap “Galasticos 3.0” Sukar Direalisasikan Semula

Sabu bukanlah nama asing dalam dunia gusti. Beliau dikenang sebagai seorang penggusti yang berani dan tidak gentar untuk mempertaruhkan nyawa demi memukau penonton.

Untuk info, Sabu merupakan anak saudara kepada Hall of Famer WWE, Ed “The Sheik” Farhat, yang juga merupakan jurulatihnya dalam dunia gusti.

Beliau mula mencipta nama melalui organisasi Extreme Championship Wrestling (ECW), di mana beliau menjadi simbol kepada aliran hardcore wrestling.

Sifatnya yang sanggup “mengorbankan diri” menjadikan beliau digelar sebagai “suicidal, homicidal, genocidal, death–defying maniac”.

Dalam ECW, Sabu meraih pelbagai kejuaraan termasuk dua kali Juara Dunia ECW, Juara Televisyen ECW, dan tiga kali Juara Beregu ECW.

Siri perlawanan bersama nama-nama besar seperti Rob Van Dam, Mick Foley, The Sandman dan musuh utamanya, Tazz, masih terpahat dalam ingatan peminat tegar gusti.

BACA: Manchester United Bawa Semua Pemain Utama Ke KL – Amorim

Pada 2006, WWE membawa masuk Sabu dalam usaha menghidupkan kembali jenama ECW.

Di sinilah beliau diberi peluang untuk bertarung dalam perlawanan-perlawanan penting. Ini termasuklah menentang Rey Mysterio bagi Kejuaraan Dunia Berat dan John Cena bagi Kejuaraan WWE.

Salah satu detik paling membanggakan dalam kariernya berlaku di WrestleMania 23 pada 2007.

Ketika itu, beliau bersama pasukan ECW Originals yang terdiri daripada The Sandman, Tommy Dreamer dan Rob Van Dam. Mereka berjaya menewaskan pasukan The New Breed di hadapan lebih 80,000 penonton di kampung halamannya, Detroit.

Walau bagaimanapun, khidmatnya bersama WWE tidak bertahan lama, dan beliau meninggalkan syarikat tersebut beberapa bulan selepas itu.

Selepas meninggalkan WWE, Sabu meneruskan karier sebagai “pengembara gusti”, menjelajah pelbagai negara termasuk menyertai WCW, TNA, dan New Japan Pro Wrestling (NJPW).

Beliau kembali mencuri tumpuan pada 2023 apabila membuat dua penampilan khas dalam All Elite Wrestling (AEW), termasuk sebagai special enforcer dalam perlawanan antara Chris Jericho dan Adam Cole.

BACA: ONE Lumpinee: Rifdean Masdor Tumbangkan Lawan Sepantas 47 Saat

Sumber: WWE, Revista Merca 2.0

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.