Siakap Keli
nissan berhentikan pekerja
Kredit: AFP

Nissan Rancang Berhentikan 10,000 Pekerja – Media Jepun

Nissan Rancang Berhentikan 10,000 Pekerja – Media Jepun

Nissan merancang untuk memberhentikan 10,000 pekerja di seluruh dunia, lapor media Jepun, NHK, pada Isnin.

Memetik AFP, laporan itu disiarkan sehari sebelum pembuat kereta terkemuka itu dijangka mendedahkan lebih lanjut mengenai kerugian tahunan yang dicatatkan oleh mereka iaitu sekitar $5 bilion.

Keputusan untuk mengurangkan pekerja itu dikatakan sebagai tambahan kepada pengumuman yang telah dibuat pada November lalu di mana mereka akan mengurangkan 9,000 jawatan. Hal ini bermakna, Nissan kini menyasarkan untuk mengurangkan jumlah tenaga kerjanya sebanyak kira-kira 15 peratus.

Bagaimanapun, Nissan enggan mengulas mengenai laporan terbabit yang turut diterbitkan dalam Nikkei.

Seperti pesaing yang lain, Nissan sukar untuk bersaing dengan jenama kenderaan elektrik tempatan di China.

Kemungkinan untuk bergabung dengan Honda dilihat sebagai potensi ‘talian hayat’ untuk syarikat itu.

Pun begitu, perbincangan dilaporkan gagal pada Februari lalu selepas Honda mencadangkan untuk menjadikan Nissan sebagai anak syarikat dan bukannya berintegrasi di bawah firma induk.

Kemudian pada bulan lepas Nissan mengeluarkan amaran mengenai hasil keuntungan yang diperolehinya. Syarikat itu berkata ia menjangkakan kerugian bersih tahunan sebanyak 700 hingga 750 bilion yen untuk tahun kewangan 2024-2025.

BACA JUGA: Panasonic Sasar Berhentikan 10,000 Pekerja Di Seluruh Dunia

Bulan ini, Nissan menangguhkan rancangan untuk membina loji bateri bernilai $1 bilion di selatan Jepun kerana ‘persekitaran perniagaan’ yang sukar.

Dalam pada itu, masalah tarif 25 peratus yang dikenakan oleh Donald Trump ke atas semua kenderaan yang diimport ke AS  menambahkan lagi kegusaran kepada Nissan.

Penganalisis Perisikan Bloomberg, Tatsuo Yoshida berkata kepada AFP, daripada semua pembuat kereta utama Jepun, Nissan berkemungkinan paling teruk terjejas.

Menurutnya, pelanggan Nissan lebih sensitif terhadap harga.

“Jadi syarikat itu tidak boleh menaikkan harga pada tahap yang sama seperti Toyota atau Honda tanpa mengalami kerugian besar dalam unit jualan,” katanya.

Walaupun senarai kereta elektrik Nissan telah gagal memenangi pasaran China, syarikat itu baru-baru ini mengumumkan pelaburan sebanyak 10 bilion yuan dalam industri itu.

Pasaran EV yang sangat kompetitif di China adalah yang terbesar di dunia, diketuai oleh pembuat kereta BYD yang berpangkalan di Shenzhen.

Sumber: AFP

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.