Hyperloop China Dalam Ujian, Disasar Capai Kelajuan Setanding Kapal Terbang
China telah menjalankan ujian skala penuh terhadap kereta api hyperloop dalam tiub vakum sepanjang dua kilometer.
Ujian yang dijalankan baru-baru ini dipercayai telah memperlihatkan prototaip itu telah mencapai kelajuan 623km/j, lapor Escape.com.
Jurutera di sebalik projek itu bercita-cita tinggi dengan menyasarkan kelajuan melebihi 1,000 km/j, membolehkan kereta api bergerak pada kelajuan yang setanding dengan kapal terbang.
Memetik portal Sustainability Times, ujian ini bertujuan untuk menilai integrasi pelbagai sistem kereta api, ia satu langkah kritikal untuk kejayaan projek.
Beberapa teknologi canggih telah diuji, termasuk kawalan navigasi levitasi magnetik, yang membolehkan kereta api bergerak tanpa geseran di atas landasan. Ujian terbabit menunjukkan keupayaan China untuk menggabungkan teknologi yang kompleks ke dalam sistem pengangkutan termaju.
Penggunaan teknologi yang membolehkan kereta api terapung menggunakan kuasa magnet ini sememangnya perlu diberi perhatian. Hal ini kerana, ia boleh menghasilkan kelajuan yang luar biasa.
BACA: China Lancar Kereta Api Berkelajuan Tinggi, Dilapor Mampu Beroperasi Dalam Cuaca Sejuk Ekstrem Serendah -40° Celcius
Untuk pengetahuan, projek ini terhasil daripada kerjasama antara kerajaan wilayah Shanxi dan Perbadanan Sains dan Industri Aeroangkasa China (CASIC). Kedua-dua pihak itu merupakan pemain utama dalam pembangunan teknologi China.
Tapak ujian yang terletak di Datong dilaporkan telah dibina dalam masa yang singkat iaitu dari April 2022 hingga November 2023. Ia menggambarkan komitmen negara terbabit terhadap projek berskala besar ini.
Dengan mengurangkan masa perjalanan secara drastik, ia boleh mengubah mobiliti bandar. Contohnya, perjalanan antara Beijing dan Shanghai boleh dikurangkan kepada hanya 90 minit.
Bagaimanapun, timbul juga persoalan mengenai kos pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur terbabit yang boleh menjadi tinggi. Dalam masa yang sama, kesan teknologi canggih tersebut kepada alam sekitar juga masih perlu dinilai.
Konsep hyperloop ini bukan baharu, idea terbabit telah dipopularkan semula oleh Elon Musk pada tahun 2013. Sejak itu, beberapa syarikat di seluruh dunia telah menyertai usaha ini, tetapi kereta api ‘terapung’ versi China ini boleh dikatakan yang paling maju dari segi aplikasi dunia sebenar.
Sumber: Sustainability Times