Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Program LCS Capai 77.46% Kemajuan Keseluruhan, Kemajuan Penyerahan Kekal Mengikut Jadual

Program LCS Capai 77.46% Kemajuan
Kredit: LUNAS

Program LCS Capai 77.46% Kemajuan Keseluruhan, Kemajuan Penyerahan Kekal Mengikut Jadual

Program Kapal Tempur Pesisir (LCS) telah mencapai kemajuan fizikal keseluruhan sebanyak 77.46% bagi kesemua lima buah kapal setakat April 2026. Ini mencerminkan kemajuan berterusan dalam aktiviti pembinaan, integrasi sistem dan ujian di seluruh armada.

Perkara itu dimaklumkan oleh Lumut Naval Shipyard (LUNAS) selepas mendapat kunjungan dari Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, diiringi YBhg. Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan; Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia; serta Laksamana Madya Dato’ Baharudin Wan Md Nor, Panglima Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia.

Lawatan tersebut diadakan bertujuan untuk mengetahui cabaran semasa yang berkaitan dengan LCS serta memastikan kemajuan berterusan ke arah penyerahan mengikut jadual yang telah dipersetujui.

Setakat ini, status kemajuan bagi kapal LCS1 adalah sebanyak 84.30 peratus, manakala untuk LCS2 pula sebanyak 79.48 peratus.

Bagi LCS3 pula, setakat ini sebanyak 71.22 peratus kemajuan dilaporkan. Untuk LCS4 dan LCS 5 pula, masing-masing 60.52 peratus dan 49.71 peratus.

Kredit: LUNAS

Pelaksanaan serentak beberapa buah kapal pada tahap pembinaan dan integrasi yang berbeza menunjukkan pendekatan program yang lebih tersusun dan berdisiplin.

Setakat ini, LCS1 telah memulakan ujian laut (sea trials) sebagai fasa pengesahan akhir sebelum Sea Acceptance Trials bersama Tentera Laut Diraja Malaysia. Ini merupakan pencapaian penting ke arah kesiapsiagaan operasi dan keupayaan kapal.

Bagi LCS2 pula, kapal tersebut dijadualkan menjalani aktiviti pelayaran pertama (first sea going) pada Suku Keempat 2026, sebagai langkah penting dalam fasa pembinaan dan integrasi secara berperingkat.

Untuk LCS3, kapal tersebut kini berada dalam fasa pembinaan berintensiti tinggi susulan Majlis Penamaan dan Pelancaran yang telah diadakan pada Februari 2026.

Kapal LCS4 pula dijadualkan menjalani penurunan ke air pertama (first downslip) pada penghujung tahun ini, sekali gus menandakan kesinambungan momentum dalam urutan pembinaan kapal.

LCS5 sedang menunjukkan kemajuan yang stabil dalam fasa pembinaan, dengan empat blok yang telah siap dan kesemua empat Main Diesel Generator telah berjaya dipasang di atas kapal.

Dalam pada itu, Sistem Combat Management System juga telah berjaya menamatkan Factory Acceptance Test (FAT).

Kredit: LUNAS

Untuk jadual penyerahan, LCS1 dijangka akan diserahkan pada Disember 2026. LCS2 pula pada Ogos 2027, manakala LCS3 pada Disember 2027. Untuk LCS4, ia akan diserahkan pada Ogos 2028 dan LCS5 pula pada April 2029.

LUNAS juga memaklumkan bahawa program ini sedang dilaksanakan selaras dengan jadual penyerahan yang telah diumumkan.

"LUNAS kekal komited untuk menyerahkan setiap kapal dalam tempoh yang telah dipersetujui, memastikan keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia diperkukuh secara berperingkat selaras dengan keutamaan pertahanan negara," ujar LUNAS.

Kredit: LUNAS

Dengan kemajuan yang boleh diukur merentasi kesemua lima buah kapal, Program LCS terus menunjukkan disiplin pelaksanaan, pematuhan jadual serta momentum berterusan ke arah penyerahan penuh armada.

Sumber:LUNAS