MRSM Kepala Batas Kini Rasmi Bergelar MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi
Majlis Amanah Rakyat (MARA) secara rasmi mengumumkan pertukaran nama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pengumuman tersebut dimuat naik di laman Facebook rasmi MARA pada Isnin.
Menerusi kenyataan berkenaan, pemasyhuran MRSM tersebut merupakan tanda penghargaan kepada jasa dan sumbangan mantan Perdana Menteri Kelima berkenaan.
“Visi beliau dalam memperkenalkan sistem pendidikan dualistik iaitu gabungan ilmu duniawi dan ukhrawi telah membawa perubahan besar dalam sistem pendidikan MARA dengan memperkenalkan program Ulul Albab bermula 2009.
“Aspirasi ini juga telah melahirkan ramai pelajar cemerlang, bukan sahaja dari segi akademik, malah berakhlak mulia dan bersahsiah tinggi,” ujar badan tersebut.
Terdahulu, cadangan menggunakan nama Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi ini dinyatakan oleh Pengerusi MARA, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Sebagai mengenang jasa Almarhum Pak Lah (Tun Abdullah), saya akan mendapatkan persetujuan Menteri KKDW (Ahmad Zahid) untuk menamakan MRSM Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Badawi,” katanya menerusi sebuah hantaran di laman Instagram.
Tanggal 14 April lalu, negara berkabung dengan pemergian Allahyarham Tun Abdullah ketika usia 85 tahun. Seperti mana mantan Perdana Menteri terdahulu, jenazah Tun Abdullah dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara. Majlis pengebumian Allahyarham turut dijalankan mengikut Istiadat Pengebumian Negara.
Ketika memegang jawatan Menteri Pendidikan dan Menteri Luar Negeri, Tun Abdullah dikenali sebagai seorang pemimpin yang menekankan prinsip Islam Hadhari. Allahyarham turut memperkukuh dasar pentadbiran berteraskan integriti dan ketelusan.
Malah, penubuhan MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi dirasmikan sendiri oleh Tun Abdullah pada 29 Mac 2009 di Dewan Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Dalam kenyataan berasingan, pihak MARA turut mengetengahkan jasa Tun Abdulah dalam usaha membangunkan institusi pendidikan.
“Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan seorang figura kepimpinan negara yang unggul dan banyak menyokong penuh usaha MARA untuk memperluas peranan institusinya seperti Kolej Profesional MARA, GIATMARA dan MRSM.
“Antara legasi terbesar Allahyarham dalam pendidikan MARA ialah pengukuhan sistem pendidikan dualistik yang menggabungkan ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi yang menjadi asas kepada program Ulul Albab MRSM,” maklum badan tersebut.
Sumber: Majlis Amanah Rakyat (1), (2)
BACA: Asyraf Wajdi Cadang Tukar Nama MRSM Kepala Batas Kepada MRSM Tun Abdullah Badawi
BACA: Percaya Tafsiran ChatGPT Dakwa Suami Curang, Wanita Failkan Cerai