Siakap Keli
Terowong Hidupan Liar
Gambar: KKR

Terowong Hidupan Liar: Laluan Khas Hidupan Liar Melintas Lebuh Raya Dengan Selamat

Terowong Hidupan Liar: Laluan Khas Hidupan Liar Melintas Lebuh Raya Dengan Selamat

Syarikat konsesi Lebuhraya Persisiran Barat (WCE – West Coast Expressway) sebenarnya telah membina laluan khas untuk hidupan liar melintasi lebuh raya dengan selamat.

Laluan yang dikenali sebagai “Culvert Animal Crossing” ini dibina di jajaran Taiping Selatan – Bruas.

Pembinaannya mendapat khidmat nasihat dan kelulusan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Ia merupakan inisiatif penting dalam mengurangkan risiko kemalangan yang melibatkan haiwan liar.

“Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui agensi-agensinya seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memastikan elemen ini dimasukkan dalam reka bentuk dan pembinaan jalan raya serta lebuh raya baharu.

“Kerjasama erat dengan PERHILITAN akan diteruskan bagi memastikan usaha pemeliharaan hidupan liar sentiasa dipertingkatkan,” tegas KKR dalam satu kenyataan.

Lampu jalan, papan tanda dipasang di 39 lokasi lintasan hidupan liar

Dalam usaha melindungi hidupan liar dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya, sebanyak 39 lokasi di seluruh negara telah dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan.

Lampu jalan dan papan tanda amaran khas telah dipasang di lokasi-lokasi tersebut.

Pemasangan ini melibatkan laluan kritikal yang sering menjadi tempat pergerakan gajah liar, khususnya di Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Johor.

Untuk info, sebanyak RM4 juta telah dibelanjakan oleh KKR bagi menjayakan inisiatif ini.

Selain itu, difahamkan bahawa pemasangan lampu jalan di lokasi terbabit bertujuan untuk meningkatkan tahap pencahayaan di kawasan gelap.

Langkah ini sekali gus membantu pemandu mengenal pasti kehadiran haiwan liar pada waktu malam.

Papan tanda amaran khas turut dipasang bagi memaklumkan kepada pemandu bahawa mereka telah memasuki kawasan lintasan semula jadi hidupan liar, terutamanya gajah liar.

Seruan kepada pengguna jalan raya

Justeru itu, melalui langkah ini, pihak berkuasa berharap agar pemandu dapat lebih peka terhadap pergerakan hidupan liar.

Pemandu juga digalakkan mengurangkan kelajuan serta berhati-hati ketika memandu di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai laluan gajah.

Tindakan ini penting bagi mengelakkan sebarang kemalangan yang boleh mencederakan atau membunuh hidupan liar ini, selain menghindari risiko kepada nyawa manusia.

BACA: Anak Mati Dilanggar, Ibu Gajah Setia Tak Berganjak

BACA: Ibu Gajah Dipercayai Masih Berkeliaran, Cari Anak Yang Telah Tiada

BACA: WWF-Malaysia Gesa Bina Bonggol Jalan Di Kawasan Lintasan Hidupan Liar

Sumber: Kementerian Kerja Raya Malaysia (1) (2) (3)

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.