Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Bukan Sekadar Media, Ini Laluan Kerjaya Untuk Graduan Komunikasi Massa
Dalam dunia yang dibanjiri maklumat kini, suara yang mampu menyampaikan mesej dengan jelas, beretika dan berkesan semakin bernilai. Di sebalik berita yang kita tonton, iklan yang melekat di minda, dan kempen sosial yang menyentuh hati, di situlah terselit hasil kerja seorang graduan Komunikasi Massa.
Mereka bukan sekadar penulis atau penyampai, tetapi ‘jurutera’ komunikasi yang menggerakkan emosi, membentuk persepsi dan mencorakkan realiti masyarakat. Namun, ramai yang masih keliru, ke mana arah sebenar kerjaya selepas menggenggam ijazah dalam bidang ini?
Hakikatnya, laluan kerjaya bagi graduan Komunikasi Massa jauh lebih luas dan fleksibel daripada yang disangka. Bidang ini bukan lagi tertumpu kepada media arus perdana semata, malah telah berkembang ke pelbagai sektor seperti teknologi, korporat, hiburan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media sosial.
Menerusi artikel kali ini, SK ingin senaraikan beberapa laluan kerjaya utama yang menanti graduan Komunikasi Massa. Bermula dengan menjadi suara dari balik corong radio hingga menjadi minda strategik di sebalik kempen digital.
Buat mereka yang masih belum pasti tentang laluan kerjaya dalam bidang ini, ketahui bagaimana ilmu komunikasi boleh menjadi tiket ke pelbagai peluang dalam era digital masa kini.
Seperti yang kita ketahui, graduan bidang ini sudah tentu bakal berpeluang menjadi wartawan, pemberita, penyampai berita serta penerbit rancangan televisyen dan radio. Malah, anda juga berpeluang menjadi penyunting berita dan pengacara rancangan.
Ketahuilah, bidang pengiklanan sentiasa relevan di setiap zaman. Tiada mesin, robot atau kecerdasan buatan yang mampu mengatasi kebolehan graduan bidang ini dalam menyampaikan hasil terbaik buat sesuatu kelompok masyarakat dan penonton atau pendengar sasaran.
Antara kerjaya yang menanti graduan dalam bidang ini termasuk pegawai perhubungan awam, eksekutif pengiklanan dan pengurus jenama. Malah kebelakangan ini, permintaan terhadap penulis iklan (copywriter) dan perancang media semakin meningkat dengan tawaran gaji yang lumayan.
Bagi graduan yang meminati penulisan, jawatan penyunting buku atau majalah dan penulis bebas (freelance). Malah, penulis kandungan (content writer), penulis skrip dan penterjemah turut menjadi antara kerjaya yang semakin mendapat permintaan.
Sejak pandemik melanda, bidang digital dan media sosial semakin terbuka luas dengan pelbagai platform yang muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan. Berikutan itu juga, pelbagai jawatan baharu yang diperlukan bagi memastikan syarikat perniagaan kekal relevan di zaman ini.
Graduan komunikasi massa diperlukan bagi menjalankan tugas pengurus media sosial dan pencipta kandungan (content creator). Malah, pegawai strategi digital juga tiba-tiba mendapat permintaan tinggi dalam agensi pemasaran digital, e-dagang, media digital serta jenama-jenama terkenal dunia.
Mereka yang mempunyai kemahiran multimedia dan menyunting video juga mempunyai laluan yang cerah kebelakangan ini.
Jika anda seorang yang berjiwa korporat, sudah tentu anda sentiasa diperlukan. Ia berikutan tidak semua syarikat mempunyai pegawai yang mampu menguruskan perhubungan strategik yang berkesan serta mampu menggalas tanggungjawab besar membawa nama syarikat atau organisasi.
Graduan bidang ini sentiasa menjadi rebutan bagi mengisi kekosongan pegawai komunikasi korporat, pengurus komunikasi dalaman dan pakar hubungan pelabur (investor relations). Begitu juga sebagai perunding komunikasi krisis kerana mereka sudah terlatih untuk menghadapi segala macam situasi dan krisis yang melibatkan hal-hal komunikasi dan perhubungan strategik.
Inginkan pencen kerajaan? Jangan khuatir. Jawatan pegawai penerangan dan pegawai komunikasi strategik tersedia untuk anda mohon menerusi portal SPA. Graduan bidang ini juga berpotensi berkhidmat di luar negara sebagai pegawai komunikasi untuk organisasi kebajikan peringkat antarabangsa.
Sumber: SPA (1) (2), Universiti Taylor, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Kolej Universiti Widad
BACA: Sambil Pekena Nasi Kandar, Wartawan China Borak Dalam Bahasa Melayu
BACA: Tiga Penghidap Penyakit Mental Ini Layak Terima Bantuan MySalam