Tak Sangka, Macam Ni Rupanya Hidup Pelajar “Masscom”
Apabila kita melangkah dari alam persekolahan ke dunia universiti, ramai antara kita akan berfikir panjang tentang jurusan yang ingin dipilih. Ini kerana keputusan yang dibuat hari ini akan menentukan hala tuju masa depan kita.
Bagi anda yang berminat dalam dunia media, seperti radio, filem, kewartawanan atau media sosial, kursus Komunikasi Massa (atau Masscom) mungkin pilihan yang paling tepat.
Baru-baru ini, satu perkongsian di media sosial tentang pengalaman seorang pelajar Masscom kembali tular dan mendapat perhatian ramai.
Ini mungkin kerana ramai pelajar sedang mencari maklumat tentang kursus menarik yang ditawarkan di universiti.
Mana tidaknya, anak muda sekarang sukakan sesuatu yang best, menyeronokkan dan pada masa yang sama boleh menjamin masa depan.
Dalam sebuah video yang dimuat naik di akaun TikTok @awaamltzm, wanita ini berkongsi pengalamannya sebagai pelajar Masscom, dan ramai netizen mengaku kagum serta terinspirasi.
Melalui kursus ini, beliau berjaya membina keyakinan dalam bidang komunikasi, dan terlibat dalam pelbagai peluang pembangunan kerjaya.
Selain itu, beliau juga menguasai kemahiran dalam multimedia yang kini sangat diperlukan, terutamanya dalam era digital yang semakin berkembang.
@awaamltzm Agi idup, Agi Masscom ! Come join us and be part of masscomers 📸🎥 #masscom #masscommunicationstudent #masscomuitm #masscommstudent #uitmrembau #fypp #fypage #careergrowth #educationalpurposes #bestcourseforcareer #fypシ゚viral #fypシ
Kenali Masscom
Secara ringkasnya, Komunikasi Massa (atau Mass Communication), juga dikenali sebagai “Masscom”, ialah proses menyampaikan maklumat kepada orang ramai melalui medium seperti lisan, tulisan atau digital.
Ilmu ini membolehkan mesej sampai kepada ribuan malah jutaan orang dengan pantas dan berkesan.
Kursus ini meliputi pelbagai bidang seperti kewartawanan, perhubungan awam, produksi video, media cetak, penyiaran radio dan televisyen, serta media atas talian.
Ia membekalkan pelajar dengan kefahaman menyeluruh mengenai industri komunikasi, sekali gus membuka peluang kerjaya yang sangat luas dalam pelbagai sektor.
Walaupun internet kini mendominasi dunia media, filem, televisyen dan majalah masih memainkan peranan penting dalam membentuk budaya.
Malah, kandungan TV semakin pelbagai dan inklusif, sesuai untuk semua lapisan masyarakat, tidak kira jantina, budaya, mahupun status kewangan.
Jadi, jika anda memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang Masscom, ketahuilah bahawa ilmu ini akan terus relevan. Lebih-lebih lagi dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi media.
5 sebab untuk belajar Masscom
1. Peluang kerjaya yang luas
Masscom bukan sekadar satu cabang ilmu, malah ia ibarat jambatan ke pelbagai bidang kerjaya.
Anda boleh melibatkan diri dalam dunia pengiklanan, penjenamaan, produksi audio visual, penyiaran, komunikasi korporat dan perhubungan awam, dan banyak lagi.
Dengan dunia yang semakin digital, kebanyakan syarikat memerlukan tenaga kerja mahir dalam bidang media untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka melalui platform seperti Facebook, Instagram, YouTube dan sebagainya.
2. Tak perlu latar belakang khusus
Sama ada anda pelajar aliran sains atau sastera, jangan risau, semua orang berpeluang berjaya dalam bidang ini.
Apa yang penting adalah semangat dan keazaman. Masscom bukan tentang siapa anda sebelum ini, tetapi siapa anda mahu jadi pada masa depan.
3. Projek praktikal & pengalaman dunia sebenar
Salah satu kelebihan utama kursus ini adalah projek berasaskan praktikal.
Anda akan terlibat secara langsung dengan syarikat, organisasi, atau acara sebenar, memberi anda pengalaman dunia sebenar yang sangat berharga sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
4. Seronok & tidak membosankan
Subjek dalam bidang ini biasanya sangat interaktif dan kreatif. Pensyarah komunikasi terkenal dengan gaya pengajaran yang menyeronokkan dan inovatif.
Pelajar akan lebih terlibat, belajar secara pengalaman (experiential learning), dan mendapat pendedahan terhadap teknik-teknik baharu yang menarik.
5. Pengalaman yang unik & bermakna
Seperti bidang lain, anda juga akan diuji dari segi ketahanan dan komitmen.
Tetapi jika anda mempunyai minat yang mendalam, bidang ini akan membuka pintu kepada pelbagai peluang kreatif, pendedahan industri dan pengalaman pembelajaran yang sangat unik dan menyeronokkan.
Dunia kini semakin bergantung kepada mereka yang tahu bagaimana menyampaikan mesej dengan berkesan. Mungkin anda salah seorang daripadanya.
BACA: Polis Tahan Tiga Lelaki Ceroboh Kawasan Hutan Simpan Rotan Tunggal
BACA: Bapa Korea Luah Perasaan Bila Anak Perempuan Kahwin Dengan Lelaki Melayu
BACA: Anak Mati Dilanggar, Ibu Gajah Setia Tak Berganjak
Sumber: TikTok @awaamltzm, IACT College