Siakap Keli
rusia ukraine bertemu
Kredit: AFP

Rusia, Ukraine Akan Bertemu Di Istanbul Buat Pertama Kali Sejak 2022

Rusia, Ukraine Akan Bertemu Di Istanbul Buat Pertama Kali Sejak 2022

ISTANBUL, 15 Mei (Bernama) — Media global menantikan perbincangan mengenai penyelesaian konflik Ukraine yang dijangka diadakan di Istanbul pada Khamis atas inisiatif Presiden Rusia Vladimir Putin.

Mesyuarat ini mungkin menandakan hubungan langsung pertama antara delegasi Rusia dan Ukraine sejak Mac 2022, apabila perunding dari Moscow dan Kiev terlibat dalam dialog di Istana Dolmabahce di Istanbul.

Sekali lagi, delegasi Rusia akan diketuai oleh Pembantu Kremlin Vladimir Medinsky, menurut agensi berita Rusia, TASS.

Sama seperti pada 2022, delegasi ini akan termasuk Timbalan Menteri Pertahanan Alexander Fomin. Kementerian Luar Rusia akan diwakili oleh Timbalan Menteri Luar Mikhail Galuzin, yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan dengan Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS).

Tiga tahun lalu, delegasi Rusia turut melibatkan Timbalan Menteri Luar Andrey Rudenko, namun kini beliau bertanggungjawab bagi kawasan lain di kementerian itu. Igor Kostyukov Ketua Pengarah Utama Staf Umum Angkatan Tentera Rusia pula akan menjadi perunding Rusia keempat.

Moscow juga akan menghantar pasukan pakar ke Istanbul iaitu Alexander Zorin, Timbalan Ketua Pegawai Maklumat di Direktorat Staf Umum Angkatan Tentera Rusia Yelena Podobreyevskaya, Timbalan Ketua Pejabat Presiden Rusia bagi Dasar Kemanusiaan Negara Alexey Polishchuk, Pengarah di Jabatan CIS Kedua Kementerian Luar dan Viktor Shevtsov, Timbalan Ketua Pengarah Utama Kementerian Pertahanan untuk Kerjasama Ketenteraan Antarabangsa.

Pegawai AS juga dijangka berada di Turkiye. Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini menyatakan yang Setiausaha Negara Marco Rubio dan pegawai lain akan ke Turkiye untuk perbincangan mengenai Ukraine.

BACA: Badan Penerbangan PBB Putuskan Rusia Bertanggungjawab Insiden MH17 Ditembak Jatuh – Laporan

Seorang jurucakap Rumah Putih memberitahu wartawan yang Utusan Khas AS, Steve Witkoff dan Utusan Khas untuk Ukraine Keith Kellogg, akan ke Istanbul. Trump tidak menolak kemungkinan beliau sendiri akan ke Istanbul jika ia memberi manfaat kepada rundingan itu.

Namun, hanya sedikit maklumat diketahui mengenai agenda perbincangan yang dijangka, seperti biasa dalam mesyuarat diplomatik penting seperti ini.

Timbalan Menteri Luar Rusia Sergey Ryabkov berkata mesyuarat Istanbul ini akan membincangkan isu berkaitan mencapai penyelesaian yang mampan bagi konflik ini dan realiti di lapangan, termasuk isu wilayah.

“Masih terlalu awal untuk membuat ramalan,” tegas diplomat kanan itu, sambil berkata banyak yang akan bergantung pada pendirian penaja barat Kyiv.

Rodion Miroshnik Duta Khas Kementerian Luar Rusia percaya yang dokumen yang diluluskan oleh perunding Rusia dan Ukraine di Istanbul pada 2022 boleh menjadi antara pilihan untuk menyelesaikan konflik dengan syarat beberapa penyesuaian dibuat berdasarkan perkembangan dalam tiga tahun terakhir.

Sumber: BERNAMA-TASS

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.