Siakap Keli
Kapal Tentera Rempuh Jambatan Brooklyn
Gambar: X

Kapal Latihan Tentera Laut Mexico Rempuh Jambatan Brooklyn, 2 Dilapor Maut

Kapal Latihan Tentera Laut Mexico Rempuh Jambatan Brooklyn, 2 Dilapor Maut

Dua maut manakala 19 yang lain cedera apabila sebuah kapal layar latihan milik Tentera Laut Mexico, Cuauhtémoc, merempuh Jambatan Brooklyn di New York selepas dipercayai mengalami masalah mekanikal dan gangguan kuasa.

Menurut polis, insiden berlaku pada Sabtu ketika kapal tersebut yang membawa 277 kru sedang dikendalikan menghampiri jambatan.

Kapten kapal dipercayai hilang kawalan selepas kapal itu kehilangan kuasa, lalu terbabas ke arah struktur asas jambatan di bahagian Brooklyn.

Rakaman video kejadian menunjukkan tiang layar kapal yang tinggi melanggar bahagian bawah jambatan ketika cuba melaluinya.

https://x.com/RT_com/status/1924035832542831043?t=i8oKpgZl-3PuJcUecsWXUg&s=19&fbclid=IwY2xjawKWialleHRuA2FlbQIxMABicmlkETFCMlMxa1Fma0IzSmVPMzcwAR6LEmJNhXASY02UJCrFo_yIoj72wSBzb2TVwE-Z53vFRNKWH6L1KIISLnSZGg_aem_r0OaLm1TFHUKgnxTE7tbzg

Pihak berkuasa memaklumkan beberapa kru berada di atas tiang ketika ia patah dan jatuh ke atas dek kapal.

Datuk Bandar New York, Eric Adams, mengesahkan melalui platform X bahawa dua individu meninggal dunia, sementara dua daripada 19 yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Pihak berkuasa turut mengesahkan bahawa Jambatan Brooklyn tidak mengalami kerosakan serius dan telah dibuka semula selepas pemeriksaan awal.

Pengawal Pantai New York memaklumkan kapal Cuauhtémoc kehilangan ketiga-tiga tiangnya dalam insiden tersebut. Semua anak kapal berjaya dikesan dan tiada yang terjatuh ke dalam air.

Sementara itu, Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, turut melahirkan rasa sedih dan dukacita atas kehilangan dua kru kapal dalam tragedi itu.

BACA: Kira-Kira 27 Maut Akibat Puting Beliung, Ribut Di AS

Seorang saksi yang merupakan penduduk Brooklyn menggambarkan keadaan sebagai panik dan huru-hara.

“Terdengar jeritan kuat, ada kelasi tergantung pada tiang,” katanya kepada AFP.

Saksi lain, Kelvin Flores, memberitahu bahawa beliau melihat kejadian itu ketika sedang bekerja.

“Keadaan sangat kelam-kabut. Kenderaan bomba dan polis cuba sampai ke lokasi, tapi trafik sangat sesak. Melihat sendiri kerosakan itu sangat mengejutkan. Ramai yang bawa pengusung untuk bantu mangsa,” katanya.

Untuk info, kapal Cuauhtémoc yang berukuran 91 meter panjang dan 12 meter lebar telah ditunda keluar dari lokasi kejadian selepas pelanggaran.

Kapal itu mula beroperasi sejak 1982 dan lazimnya digunakan sebagai sebahagian daripada latihan akhir bagi kadet selepas tamat pengajian di sekolah tentera laut Mexico.

Tahun ini, ia berlepas dari pelabuhan Acapulco pada 6 April dan destinasi akhirnya dijadualkan ke Iceland.

Menurut polis, ketinggian tiang kapal itu ialah 48.2 meter.

Manakala laman web Jabatan Pengangkutan New York menyatakan bahawa ruang pelepasan maksimum di tengah Jambatan Brooklyn hanya setinggi 41 meter (135 kaki), jauh lebih rendah berbanding ketinggian tiang kapal tersebut.

Pihak berkuasa kini meneruskan siasatan penuh terhadap punca sebenar kejadian, lapor BBC.

BACA: Tragedi Belon Udara Panas Terbakar, Seorang Maut

Sumber: BBC

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.