China Lancar Kapal Pengangkut Kereta Terbesar Di Dunia
Kapal pengangkut kereta terbesar dunia yang dibina sepenuhnya di China, “Anji Ansheng”, telah memulakan pelayaran sulungnya ke Eropah pada Khamis malam. Ia membawa kira-kira 7,000 kenderaan buatan China.
Kapal ini berlepas dari Terminal Automotif Antarabangsa Haitong, Shanghai, sekali gus mencatatkan pencapaian penting dalam sejarah industri maritim dan eksport automotif China.
Pencapaian ini mengatasi rekod yang sebelum ini dipegang oleh BYD Shenzhen, kapal pembawa kereta terbesar yang turut dibina dalam negara oleh pengeluar automotif utama China, BYD.
Spesifikasi dan keupayaan teknologi terkini
Menurut Zhuang Jingxiong, Pengurus Besar SAIC Anji Logistics Co. Ltd., anak syarikat SAIC Motor Corporation Limited, Anji Ansheng berukuran 228 meter panjang dan 37.8 meter lebar.
Ia mampu membawa sehingga 9,500 kenderaan standard pada satu-satu masa.
Kapal ini juga dilengkapi teknologi penjimatan tenaga terkini dan sistem pintar karbon rendah, yang meletakkannya setanding dengan kecekapan tenaga kelas dunia.
Ia turut direka bentuk dengan keupayaan pengisian bahan api metanol, satu langkah awal ke arah mencapai neutral karbon pada masa hadapan.
Prestasi eksport automotif China terus meningkat
SAIC melaporkan bahawa menjelang akhir tahun 2024, syarikat tersebut telah menghantar lebih 5.5 juta kenderaan ke pasaran antarabangsa. Ini menjadikannya antara pengeksport kenderaan terbesar di China.
Jualan tahunan ke luar negara juga melepasi 1 juta unit selama tiga tahun berturut-turut.
Menurut Pentadbiran Am Kastam China, jumlah eksport kenderaan negara itu telah melebihi 6.4 juta unit pada tahun 2024, mengekalkan kedudukan teratas dunia selama dua tahun berturut-turut.
Bagi tempoh Januari hingga April 2025, lebih 1.93 juta kenderaan telah dieksport, meningkat 6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Sebagai contoh, di Terminal Automotif Antarabangsa Haitong Shanghai, tempat berlepasnya Anji Ansheng. Sebanyak 740,000 kenderaan telah dieksport dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 25.1 peratus berbanding tahun lalu.
“Momentum ini bukan sahaja mencerminkan daya saing jenama-jenama China yang semakin meningkat, malah membuktikan kekuatan keseluruhan industri automotif negara,” ujar Cui Dongshu, Setiausaha Agung Persatuan Kereta Penumpang China.
Keyakinan global terhadap kenderaan China
Pada Pameran Auto Shanghai 2025 baru-baru ini, lebih 12,000 pengedar luar negara hadir, mencerminkan minat dan kepercayaan terhadap kenderaan buatan China.
“China telah melakukan kerja yang hebat dari segi teknologi. Kenderaan mereka boleh dipercayai dan ramai yang yakin dengan produk China. Mereka melihatnya sebagai gabungan terbaik antara harga dan kualiti,” kata Agustin Garcia, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarmovil Auto dari Sepanyol.
Perancangan masa hadapan SAIC Anji Logistics
SAIC Anji Logistics kini mengendalikan antara armada penghantaran kenderaan terbesar dunia.
Menjelang tahun 2026, armada laut dalamnya dijangka berkembang kepada 22 buah kapal, meliputi laluan ke Eropah Barat, Mexico, Asia Tenggara, Timur Tengah dan destinasi eksport utama lain bagi pengeluar kereta China.
BACA: Kapal Latihan Tentera Laut Mexico Rempuh Jambatan Brooklyn, 2 Dilapor Maut
Sumber: China Daily