Nurul Izzah Kongsi Langkah Pertama Sebagai Timbalan Presiden PKR
Nurul Izzah Anwar menzahirkan rasa syukur dan penghargaan selepas diberikan mandat memegang jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Namun, beliau menegaskan bahawa kemenangan tersebut bukan masa untuk bersorak atau bersenang-lenang.
Sebaliknya, ia adalah permulaan kepada usaha yang lebih besar dan berat demi mengangkat suara rakyat.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook, Nurul Izzah menekankan bahawa setiap undi yang diterima adalah satu amanah yang menuntut tanggungjawab besar di lapangan.
“Kita tidak punya banyak masa. Jangan sia-siakan setiap peluang dan setiap saat yang kita ada.
“Saya melangkah ke hadapan bukan dengan rasa megah, tetapi dengan penuh rasa tanggungjawab dan sedar, bahawa setiap undi adalah amanah, dan setiap amanah menuntut kerja sebenar.
“Mari kita bina kembali kekuatan ini. Kalau ada yang retak, kita satukan. Kalau ada yang renggang, kita dekatkan.
“Bersama, kita mampu membawa reformasi sebenar dari hati, untuk rakyat,” katanya.
BACA: Tersentuh Dengan Sokongan Diterima, Rafizi Rakam Ucapan Penghargaan
Mengulas kedudukan Presiden PKR yang kini memegang jawatan Perdana Menteri, Nurul Izzah menekankan bahawa peranan Timbalan Presiden kini menjadi lebih kritikal.
“Presiden parti kita kini memegang amanah sebagai peneraju kerajaan, sedang memikul tanggungjawab besar mengemudi negara dalam era penuh ketidaktentuan, di tengah percaturan kuasa dunia seperti perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat.
“Maka, dalam keadaan ini, peranan Timbalan Presiden menjadi lebih kritikal. Untuk memperkukuh parti, memastikan urus tadbir dalaman berada pada landasan kukuh, agar Presiden dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran negara,” tambahnya.
BACA: Ekonomi ASEAN Dijangka Berkembang Pada 4.7 Peratus Pada 2025 – Tengku Zafrul
Dalam pada itu, sebagai langkah awal, Nurul Izzah mengumumkan pelaksanaan satu program universal melibatkan semua cabang PKR di seluruh negara bertujuan memperkasa jentera akar umbi.
“Program ini akan memfokuskan kepada strategi meningkatkan jumlah penyokong, pendekatan efektif mendekati rakyat, serta cara terbaik membantu komuniti di kawasan masing-masing.
“Kita tidak boleh membiarkan pahlawan kita berjuang tanpa kekuatan. Kita akan pastikan setiap jeneral dan pahlawan parti, dari cabang hingga ke pusat, dilengkapi dengan kekuatan yang cukup, ilmu, sumber, dan semangat juang bagi menghadapi medan tempur politik yang mendatang,” katanya.
BACA: Kegagalan Pelesenan Kebangsaan & Penilaian Semula Hala Tuju Kelab – KDA FC
Sumber: Nurul Izzah Anwar/FB