Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dakwaan Hari Raya Aidiladha 6 Jun, Pejabat Mufti Wilayah Beri Penjelasan

Azizah Najib
dakwaan raya aidil adha

Dakwaan Hari Raya Aidiladha 6 Jun, Pejabat Mufti Wilayah Beri Penjelasan

Tular di media sosial dakwaan Hari Raya Aidiladha bakal disambut pada 6 Jun 2025, merujuk kepada tarikh yang dikeluarkan oleh Pusat Astronomi Antarabangsa.

Menjawab dakwaan ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan cerapan anak bulan Zulhijjah akan dibuat serentak pada esok, 27 Mei 2025. Sebanyak 29 lokasi cerapan di seluruh negara akan melaksanakan cerapan anak bulan.

“Hasil cerapan tersebut kemudiannya akan dilaporkan ke Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan seterusnya akan diumumkan di media sosial dan kaca televisyen,” maklum pejabat berkenaan.

Susulan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa penentuan awal bulan dalam kalendar Islam di Malaysia mempunyai kaedah tertentu.

“Perkara asas yang perlu difahami ialah penentuan awal bulan dalam takwim Hijri di Malaysia adalah menggunapakai kaedah rukyah dan hisab (hitungan falak) dengan merujuk kepada syarat kenampakan anak bulan yang disebut sebagai kriteria Imkanur Rukyah (kebolehnampakan) bagi penetapan 3 bulan utama (Ramadan, Syawal dan Zulhijjah), dan kaedah hisab sahaja untuk 9 bulan-bulan lain, adapun Arab Saudi mengamalkan kaedah Umm al-Qura bagi menentukan awal bulan-bulan Hijri. Kaedah ini mula digunakan dalam penyusunan takwim hijri di Malaysia sejak tahun 1995 lagi,” tambahnya lanjut.

Katanya lagi menerusi kenyataan yang sama, terdapat syarat kenampakan baharu yang ditetapkan bermula bulan Muharam 1443H. Di Malaysia, anak bulan dianggap boleh kelihatan jika berada 3° di atas ufuk dan 6.4° jarak lengkung dengan matahari semasa terbenam pada hari ke-29 dalam setiap bulan Hijri.

“Syarat Imkanur Rukyah ini turut dipersetujui penggunaannya oleh negara-negara MABIMS seperti Indonesia, Brunei dan Singapura. Walaupun MABIMS merujuk kepada kriteria Imkanur Rukyah yang sama, namun setiap negara mempunyai proses pensabitan kenampakan anak bulan yang tersendiri,” ujarnya lagi.

Berikutan itu, terdapat kemungkinan berlaku perbezaan bagi tarikh bermulanya awal bulan berkenaan.

“Dalam aspek fiqh, perkara ini tertakluk kepada matlak iaitu keluasan geografi dalam mensabitkan kenampakan anak bulan yang tertentu,” maklum pejabat mufti.

Orang ramai dinasihatkan agar merujuk pihak berkuasa dan berautoriti di Malaysia serta menunggu hasil cerapan awal Zulhijjah yang bakal diumum.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

BACA: Ahmad Fauwaz Fadzil Dilantik Mufti Wilayah Persekutuan Baharu

BACA: Terkenal Buat “Content” Cuci Masjid, Lelaki Dijemput Arab Saudi Tunai Haji