Siakap Keli
Bahaya "Calar" Periuk Teflon
Gambar: AI/ImageFX

Kajian Dedah Bahaya “Calar” Pada Periuk Teflon

Kajian Dedah Bahaya “Calar” Pada Periuk Teflon

Satu kajian mendedahkan bahawa ribuan hingga berjuta-juta zarah mikroplastik yang sangat halus berkemungkinan terkeluar daripada kuali dan periuk bersalut Teflon ketika digunakan dalam aktiviti harian memasak.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science of the Total Environment, hanya satu rekahan kecil pada permukaan salutan Teflon boleh menyebabkan pelepasan kira-kira 9,100 zarah plastik mikroskopik. Zarah-zarah ini berisiko masuk ke dalam makanan yang sedang dimasak.

Para penyelidik dari Universiti Flinders di Australia memberi amaran bahawa serpihan plastik daripada salutan Teflon yang rosak boleh mendedahkan pengguna kepada bahan kimia berbahaya. Pendedahan ini mungkin berlaku ketika memasak atau mencuci peralatan tersebut.

Untuk info, teflon merupakan nama dagang bagi bahan kimia Polytetrafluoroethylene (PTFE), iaitu sejenis polimer sintetik yang diperbuat daripada karbon dan fluorin.

Bahan ini tergolong dalam kumpulan ‘bahan kekal’ atau forever chemicals. Ia sukar diuraikan secara semula jadi dan boleh bertahan lama dalam persekitaran, malah sehingga beberapa generasi.

Menurut Cheng Fang, salah seorang penyelidik dari Universiti Newcastle di Australia, salutan Teflon termasuk dalam keluarga PFAS (per- dan polyfluoroalkyl substances) yang terkenal kerana ketahanannya terhadap haba, minyak dan air.

Bahan kimia ini turut digunakan dalam pelbagai produk komersial seperti alat solek kalis air, buih pemadam api dan pembungkus makanan.

Proses memasak tiruan buktikan kesan mikroplastik

Dalam kajian tersebut, para saintis membangunkan satu kaedah analisis baharu bagi mengenal pasti dan memvisualkan zarah mikroplastik dan nanoplastik Teflon yang amat kecil.

Hasil ujian menunjukkan bahawa sehingga 2.3 juta zarah boleh terkeluar daripada salutan yang telah rosak semasa proses memasak simulasi.

Penulis kajian, Youhong Tang dari Universiti Flinders, berkata penemuan ini merupakan satu amaran penting supaya pengguna lebih berhati-hati ketika memilih dan menggunakan peralatan memasak.

Risiko kesihatan yang tidak boleh diabaikan

PFAS telah lama dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan serius. Beberapa kajian lepas menunjukkan pendedahan kepada PFAS boleh mengakibatkan gangguan hormon, kelemahan sistem imun serta peningkatan risiko pelbagai jenis kanser.

Sebenarnya, masih belum banyak maklumat tentang kesan sebenar mikroplastik Teflon terhadap kesihatan manusia. Namun, penyelidik menegaskan perlunya siasatan lanjut kerana bahan ini boleh mencemari makanan secara tidak disedari.

“Kami bimbang kerana zarah Teflon ini berkemungkinan besar masuk ke dalam tubuh manusia melalui makanan. Ia satu pencemaran yang masih kurang difahami dan wajar diberi perhatian,” kata Dr Fang.

BACA: Manchester United Tiba Di Malaysia

Sumber: The Independent

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.