Hala Tuju Ronaldo Selepas Tinggalkan Al-Nassr Cetus Tanda Tanya
Cristiano Ronaldo sekali lagi mencuri perhatian dunia bola sepak, tetapi kali ini bukan kerana jaringan spektakularnya.
Sebaliknya, melalui satu kenyataan misteri di media sosial yang memberi bayangan beliau mungkin akan meninggalkan kelab Arab Saudi, Al-Nassr.
Dengan kontraknya bakal tamat bulan hadapan, ramai peminat mula tertanya-tanya, adakah ini isyarat perpisahan daripada Ronaldo? Dan jika benar, ke manakah hala tuju seterusnya bagi legenda bola sepak dunia ini?
Selepas kekalahan 3-2 Al-Nassr kepada Al-Fateh dalam perlawanan terakhir Liga Pro Saudi musim ini, Ronaldo memuat naik satu kenyataan pendek yang mencuri perhatian ramai.
“Chapter over. The story? Still being written. Grateful to all,” tulis Ronaldo di X.
Walaupun ringkas, perkongsian itu cukup untuk mencetuskan pelbagai spekulasi.
Kelibat Ronaldo di FIFA Club World Cup?
Mungkinkah destinasi seterusnya bagi Cristiano Ronaldo adalah kejohanan FIFA Club World Cup yang akan berlangsung di Amerika Syarikat bermula 15 Jun ini?
Presiden FIFA, Gianni Infantino, sendiri telah membuka kemungkinan itu apabila menyatakan bahawa “Ronaldo mungkin akan bermain untuk salah satu kelab yang mengambil bahagian”. Kenyataan itu dibuat semasa temu bual bersama streamer terkenal, IShowSpeed.
Infantino turut menyebut bahawa perbincangan sedang berlangsung dengan beberapa kelab yang layak ke kejohanan tersebut.
Walaupun Al-Nassr tidak berjaya layak, masih ada ruang untuk Ronaldo menyertai kelab lain secara pinjaman jangka pendek khas untuk kejohanan ini, satu strategi yang kini dibenarkan menerusi peraturan khas FIFA.
Siapa yang mampu miliki Ronaldo?
Hakikatnya, tidak banyak kelab di dunia yang mampu menampung gaji pemain yang pernah menjadi pemain bola sepak dengan bayaran tertinggi ini.
Namun, dengan tempoh FIFA Club World Cup yang hanya berlangsung sebulan, peluang untuk Ronaldo menandatangani kontrak jangka pendek dilihat lebih realistik.
Akhbar Sepanyol, Marca, melaporkan bahawa sebuah kelab Brazil telah pun menghantar tawaran rasmi kepada Ronaldo, seperti dilapor BBC.
Kelab yang dimaksudkan ialah Botafogo, salah satu daripada empat wakil Brazil yang akan bertanding di kejohanan itu.
“Kalau dia datang, mana mungkin kami tolak. Ronaldo, walaupun pada usianya, masih mesin pencetak gol. Jika dia berada dalam pasukan yang kerap mencipta peluang, dia pasti menyerlah,” kata Jurulatih Botafogo, Renato Paiva.
Jendela perpindahan khas FIFA Club World Cup
FIFA telah membenarkan satu jendela perpindahan khas dari 1 hingga 10 Jun bagi kesemua 32 pasukan yang layak ke kejohanan ini.
Ini bermakna Ronaldo masih boleh ditandatangani oleh mana-mana pasukan yang mahu khidmatnya, walaupun musim perpindahan rasmi di Eropah hanya bermula pada 16 Jun.
Dengan kejohanan berlangsung dari 15 Jun hingga 13 Julai di 12 buah stadium di Amerika Syarikat, penyertaan Ronaldo pastinya akan menjadi tarikan utama peminat seluruh dunia.
Ini terutamanya jika beliau berentap menentang kelab Lionel Messi, Inter Miami, dalam kejohanan mega ini.
Bagaimanapun, peminat bola sepak seluruh dunia hanya mampu menunggu dan melihat babak seterusnya dalam kisah legenda bola sepak ini.
Setakat ini belum ada kenyataan rasmi berhubung hala tuju Ronaldo selepas meninggalkan Al-Nassr. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.
BACA: Tip: Korang ‘Wajib’ Tahu Benda Ni Sebelum Pasang CCTV Di Rumah
Sumber: BBC