Kerajaan Persekutuan Lulus RM450 Juta Bina RTB Sungai Baru – Ab Rauf
ALOR GAJAH, 28 Mei (Bernama) — Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM450 juta bagi pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Baru, Masjid Tanah di sini.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata projek itu membabitkan jarak sepanjang 15 kilometer dari Sungai Durian Daun ke muara Sungai Kuala Baru.
“Empat kolam takungan banjir juga dicadang dibina menerusi projek RTB berkenaan membabitkan Kampung Londang, Kampung Jeram, Kampung Lubuk Redan dan Taman Gamelan.
“Ia merupakan langkah jangka panjang yang dirangka oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah banjir berulang di Masjid Tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Rumah Pam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Dewan Undangan Negeri Lendu di Taman Masjid Tanah Ria di sini hari ini.
BACA: Rafizi Ramli Umum Letak Jawatan Kabinet, Berkuat Kuasa 17 Jun Ini
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Ab Rauf berkata JPS Melaka turut melaksanakan beberapa projek bagi mengurangkan risiko banjir menerusi peruntukan RM3.3 juta daripada kerajaan negeri sebagai penyelesaian jangka pendek antaranya pemasangan dan pembinaan rumah pam, pembinaan pencawang padat elektrik serta kerja penyelenggaraan sungai.
“Selain itu, JPS Melaka sedang melaksanakan dua projek pemulihan kolam takungan banjir bernilai RM1.85 juta iaitu Kolam Takungan Banjir Durian Daun dan Kolam Takungan Banjir Solok Duku.
“Secara keseluruhannya, status kemajuan fizikal projek adalah mengikut jadual dengan kesemua projek dijangka siap Disember ini,” katanya.
Ab Rauf turut meminta syarikat konsesi yang mengendalikan perkhidmatan bas henti-henti di Melaka agar lebih bertanggungjawab dan meningkatkan kualiti latihan kepada pemandu susulan nahas membabitkan kenderaan itu.
Beliau berkata beberapa nahas itu berlaku adalah disebabkan cara pemanduan segelintir pemandu sehingga ada yang menyebabkan kehilangan nyawa.
BACA: Nik Nazmi Umum Letak Jawatan Menteri
Sumber: BERNAMA