Detik Runtuhan Glasier Musnahkan Sebahagian Kampung Di Switzerland
SWITZERLAND — Sebahagian Perkampungan Blatten di Switzerland musnah selepas glasier gergasi jatuh dari kawasan gunung ke lembah, lapor BBC.
Menurut laporan, 300 penduduk tempatan telah dipindahkan 19 Mei lalu selepas pakar geologi yang memantau kawasan itu memberi amaran bahawa glasier kelihatan tidak stabil.
Susulan itu, tiada yang terkorban dalam kejadian ini melainkan seorang dilaporkan hilang dan rumah-rumah ranap sepenuhnya.
Kejadian ini digelar sebagai bencaa terburuk kampung Blatten dan mimpi ngeri bagi komuniti di serata Alps.
Untuk pengetahuan, glasier ini merupakan lapisan ais besar dan padat yang terbentuk daripada timbunan salji sejak sekian lama.
Datuk Bandar, Matthias Bellwald berkata kejadian yang ditakuti selama ini akhirnya berlaku. Namun dia berjanji bahawa kampung itu masih mempunyai masa depan.
“Kami telah kehilangan kampung kami, tetapi ia tidak pernah hilang di hati kami. Di saat detik sukar ini, kami akan menyokong dan menghiburkan satu sama lain. Selepas malam yang panjang, pagi akan tiba lagi,” katanya sambil menahan sebak.
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan turut meminta bantuan daripada tentera Switzerland dari bahagian bantuan bencana serta badan kerajaan Switzerland yang terus bergegas ke lokasi kejadian.
Kerajaan Switzerland turut berjanji bakal memberi sumbangan kepada penduduk agar mempunyai tempat tinggal sama ada di kampung yang sama atau di mana-mana dalam wilayah itu.
Akan tetapi, Ketua Pejabat Wilayah Bencana Alam, Raphaël Mayoraz memberi amaran agar penduduk yang tinggal berhampiran Blatten juga turut dipindahkan.
Dalam pada itu, kejadian yang berjaya dirakam dron itu juga menghasilkan kepulan debu yang besar ketika runtuhan menuruni lembah. Manakala, bunyi runtuhan ketika kejadian pula digambarkan seperti bunyi raungan yang sangat kuat.
Ahli glasiologis yang memantau tahap kecairan timbunan salji ini telah memberi amaran selama bertahun-tahun kepada kampung-kampung di situ.

Blatten bukan kampung pertama yang digesa untuk evakuasi.
Penduduk kampung Brienz yang terletak di sebelah timur Switzerland telah dipindahkan dua tahun yang lalu kerana lereng gunung yang merekah. Semenjak itu mereka hanya dibenarkan untuk pulang dalam tempoh yang singkat.
Pada tahun 2017, kejadian tanah runtuh terbesar dalam sejarah negara tersebut berlaku berhampiran kampung Bondo yang memusnahkan banyak rumah serta mengorbankan seramai lapan orang pendaki.
Laporan terkini berkenaan keadaan glasier di Switzerland, pakar menjangkakan semuanya akan hilang dalam masa satu abad sekiranya suhu global tidak dapat dikekalkan dalam kenaikan 1.5 celcius melebihi paras pra-industri yang dipersetujui 10 tahun lalu oleh 200 buah negara di bawah perjanjian iklim Paris.
Saintis iklim mengatakan sasaran telah pun melebihi perjanjian, bermakna tahap kecairan glasier akan terus meningkat, mengakibatkan risiko banjir dan tanah runtuh, menjadi ancaman terhadap lebih banyak komuniti.
https://x.com/EUFreeCitizen/status/1927895102640259306
Sumber: BBC News