Siakap Keli
trump cukai keluli Aluminium
Gambar: Bernama

Trump Umum Kenaikan Cukai Keluli, Aluminium Kepada 50 Peratus

Trump Umum Kenaikan Cukai Keluli, Aluminium Kepada 50 Peratus

HAMILTON (Kanada), 31 Mei (Bernama) — Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Jumaat mengumumkan kenaikan ketara terhadap tarif import keluli dan aluminium, menggandakan kadar sedia ada daripada 25 peratus kepada 50 peratus dalam usaha yang digambarkannya sebagai langkah melindungi industri tempatan.

“Hari ini, saya ada pengumuman besar.

“Kita akan melaksanakan kenaikan 25 peratus. Kita akan naikkan dari 25 peratus kepada 50 peratus bagi tarif import keluli ke Amerika Syarikat, yang akan lebih menjamin industri keluli negara ini.

“Tiada siapa dapat mengatasinya,” kata Trump ketika berucap pada perhimpunan di kemudahan US Steel di Pittsburgh, Pennsylvania.

Trump berkata, peningkatan kadar itu bertujuan merapatkan jurang yang selama ini digunakan pesaing asing untuk mengelak tarif terdahulu, lapor Anadolu Ajansi.

“Jadi, kita naikkan daripada 25 peratus, kita gandakan kepada 50 peratus dan itu menutup laluan pintas,” katanya.

Kepada para pelabur dalam sektor keluli Amerika Syarikat, Trump berkata: “Pada kadar 25 peratus, mereka masih boleh melepasinya. Tapi dengan kadar 50 peratus, mereka tidak lagi mampu. Jadi tahniah kepada semua, dan kepada anda, kerana membuat tawaran yang hebat.”

“Saya katakan bahawa ‘tarif’ bagi saya adalah perkataan paling indah dalam kamus,” katanya.

Pengumuman itu dibuat semasa perhimpunan bagi meraikan “perjanjian blockbuster” antara Nippon Steel dan US Steel.

“Kita berada di sini hari ini untuk meraikan satu perjanjian besar yang akan memastikan syarikat Amerika yang bersejarah ini kekal milik Amerika,” katanya.

BACA: Pelakon Sitkom Kopitiam Mano Maniam Meninggal Dunia

Menyifatkan Nippon Steel dari Jepun sebagai rakan kongsi yang hebat, Trump berkata: “Jepun adalah sahabat baik saya sepanjang saya menjadi presiden.”

Sebagai sebahagian daripada komitmen penting itu, Nippon akan melabur sebanyak US$2.2 bilion bagi meningkatkan pengeluaran keluli di Mon Valley Works, katanya merujuk kepada loji pemprosesan keluli.

“Sebanyak US$7 bilion lagi akan digunakan untuk memodenkan kilang keluli, mengembangkan lombong bijih besi, serta membina kemudahan berteknologi tinggi di Indiana, Minnesota, Alabama dan Arkansas.

“Langkah ini dijangka mewujudkan dan mengekalkan lebih 100,000 pekerjaan untuk rakyat Amerika,” katanya.

Sumber: Bernama

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.