Kandang Terbakar, 19 Kambing Mati
GEORGE TOWN, 2 Jun (Bernama) — Sebanyak 19 ekor kambing mati selepas kandang menempatkan ternakan itu terbakar di Kampung Jawa, Bayan Lepas, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada 12.58 tengah hari.
“Kandang kambing kelas C itu musnah 90 peratus. Hanya seekor kambing berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kejadian turut mengakibatkan tiga kereta dan sebuah lori satu tan yang berada berhampiran kandang itu terbakar antara 30 hingga 90 peratus.
John berkata operasi pemadaman dilakukan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru bersama dua jentera.
“Api dapat dikawal pada 1.07 tengah hari sebelum kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada 2 petang,” katanya sambil menambah punca serta jumlah kerugian sedang disiasat.
BACA: Cuti Hujung Minggu Cuba Dihapuskan Pada 1929
Sumber: BERNAMA