9 Kesilapan Guna Gear Automatik Yang Mungkin Anda Selalu Buat
Kereta automatik sememangnya menjadi pilihan utama ramai pemandu masa kini. Bukan saja ianya mudah untuk dikendalikan, malah sangat sesuai untuk pemanduan harian di bandar yang penuh dengan kesesakan.
Sistem transmisinya yang tidak memerlukan penukaran gear secara manual menjadikan pengalaman memandu lebih lancar dan kurang meletihkan. Terutamanya ketika anda tersekat di dalam trafik yang padat atau semasa perjalanan jauh.
Disebabkan itulah, tidak hairan mengapa kereta automatik terus menjadi kegemaran pelbagai lapisan masyarakat. Namun begitu, ramai yang masih mengambil ringan tentang cara penggunaan gear automatik yang betul.
Jangan pandang remeh kerana kesilapan kecil yang sering diulang tanpa disedari boleh mengundang kerosakan transmisi yang sangat mahal untuk dibaiki.
Kos untuk membaiki atau menukar transmisi automatik bukan calang-calang, malah boleh mencecah ribuan ringgit.
Lebih membimbangkan, kerosakan transmisi juga boleh menjejaskan keselamatan pemanduan jika berlaku sewaktu kereta sedang bergerak.
Justeru, amat penting untuk setiap pemandu memahami dan mengamalkan cara penggunaan gear automatik yang betul agar kenderaan bukan sahaja tahan lama tetapi juga selamat untuk digunakan setiap masa.
Jadi, sebelum anda terus ‘main tekan je’, jom semak panduan penting ini kerana mungkin tanpa sedar anda selalu buat antara 9 Kesilapan ini ketika guna gear automatik.
Ketahui cara sebenar menggunakan gear automatik dengan lebih bijak dan selamat supaya kereta anda kekal berprestasi dan tidak menyusahkan poket di kemudian hari.
1. Kenali maksud setiap huruf pada gear
Setiap huruf pada tombol gear anda bukan sekadar hiasan. Ia membawa maksud penting yang perlu anda fahami:
P (Park) – Digunakan apabila kereta betul-betul berhenti dan ingin dimatikan. Jangan sesekali tukar ke P semasa kereta masih bergerak
R (Reverse) – Untuk undur. Pastikan kereta betul-betul berhenti sebelum tukar ke gear ini.
N (Neutral) – Bebas. Enjin hidup, tapi gear tidak berfungsi.
D (Drive) – Untuk pemanduan biasa ke hadapan.
2/L (Low Gear) – Sesuai digunakan ketika mendaki atau menuruni bukit curam.
2. Tekan brek sebelum tukar gear
Setiap kali anda ingin menukar gear dari P (Park) ke D (Drive) atau R (Reverse), pastikan kaki anda menekan pedal brek terlebih dahulu.
Tindakan mudah ini dapat mengelakkan berlakunya pergerakan mengejut atau hentakan kasar pada sistem transmisi.
Ia juga penting bagi mengelakkan kenderaan bergerak secara tidak terkawal terutamanya jika anda berada di kawasan cerun atau parkir sesak.
Ramai pemandu yang mengambil mudah tentang langkah ini sedangkan ia adalah asas kepada pemanduan yang selamat dan profesional.
Dalam jangka masa yang panjang, amalan ini boleh membantu memanjangkan usia transmisi automatik kenderaan anda.
Ini Mungkin 9 Kesilapan Ketika Guna Gear Automatik Yang Anda Selalu Buat
3. Jangan Tukar Gear Ketika Kereta Masih Bergerak
Selain itu, menukar gear dari D ke R atau sebaliknya semasa kereta masih bergerak adalah satu tindakan yang sangat tidak digalakkan.
Ini boleh menyebabkan tekanan yang mendadak ke atas sistem transmisi sekali gus mengundang kerosakan dalaman yang serius. Transmisi automatik direka untuk beroperasi dengan lancar hanya apabila kenderaan dalam keadaan statik.
Kesilapan seperti ini jika berulang boleh mempercepatkan kehausan gear dalaman dan menyebabkan kereta tersengguk semasa menukar gear.
Jangan kerana mahu cepat anda terpaksa menanggung kos pembaikan yang mencecah ribuan ringgit kelak.
4. Gunakan gear N bila berhenti lama
Jika anda sedang berhenti lama di lampu isyarat atau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, sebaiknya tukar gear kepada N (Neutral) dan tarik brek tangan.
Ini akan memberikan ruang kepada sistem transmisi untuk ‘berehat’ daripada terus memindahkan kuasa ke roda walaupun kereta tidak bergerak.
Selain menjaga kesihatan transmisi, ia juga dapat membantu untuk mengurangkan penggunaan bahan api.
Dalam jangka masa yang panjang, amalan ini dapat mengurangkan tekanan pada enjin serta memanjangkan jangka hayat komponen dalaman kenderaan.
Ia mungkin nampak kecil, tetapi impaknya besar jika dijadikan sebagai tabiat memandu harian.
BACA : Tak Nak Anak Menangis Dalam “Flight”? Ikut 10 Cara Ini
5. Guna gear rendah (L/2) bila perlu
Di samping itu juga, gear rendah seperti L atau 2 bukan hanya untuk pemanduan yang perlahan tetapi sangat penting dalam situasi yang memerlukan kuasa dan kawalan tambahan.
Sebagai contoh, ketika anda menuruni bukit yang curam, penggunaan gear rendah dapat membantu sistem brek enjin memperlahankan kenderaan tanpa bergantung sepenuhnya kepada brek kaki.
Ini dapat mengelakkan brek menjadi terlalu panas dan kehilangan cengkaman. Gear ini juga sesuai digunakan ketika membawa muatan berat atau melalui laluan berbatu, berlumpur atau licin.
Dengan kawalan tambahan ini, anda bukan sahaja memandu dengan lebih selamat tetapi juga melindungi sistem transmisi daripada beban yang tidak sepatutnya.
6. Berhenti sepenuhnya sebelum tukar ke P
Antara lain, amalan menukar gear ke P (Park) ketika kereta masih bergerak walaupun perlahan adalah satu kesilapan besar.
Ini boleh merosakkan komponen yang dipanggil parking pawl iaitu mekanisme kecil yang mengunci gear apabila anda meletakkan kereta dalam mod parkir.
Jika pawl ini rosak, anda berisiko tidak dapat menukar gear atau lebih teruk kereta mungkin menggelongsor walaupun sudah ‘P’.
Pastikan anda berhenti sepenuhnya sebelum tukar ke P. Ini adalah langkah asas yang sangat penting terutamanya ketika anda parkir di kawasan berbukit atau tidak rata.
Jangan kerana terburu-buru, anda perlu menanggung akibat besar di kemudian hari.
7. Amalkan guna brek tangan semasa parking
Menggunakan gear P sahaja ketika parkir adalah tidak mencukupi terutama jika anda berada di kawasan yang tidak rata.
Sebaiknya, tarik brek tangan terlebih dahulu sebelum menukar gear kepada P untuk mengelakkan tekanan berlebihan ke atas sistem transmisi.
Ini dapat membantu mengelakkan gear daripada tersangkut atau sukar ditukar ketika ingin bergerak semula.
Amalan ini bukan sahaja dapat meningkatkan tahap keselamatan malah memberi ketenangan fikiran bahawa kenderaan anda benar-benar stabil dan tidak akan menggelongsor secara tiba-tiba.
Lebih-lebih lagi jika anda memarkir di kawasan berbukit atau berhampiran jalan raya.
8. Servis minyak transmisi ikut jadual
Minyak transmisi automatik juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan pertukaran gear berjalan lancar dan sistem dalaman tidak bergesel secara kasar.
Jika minyak ini terlalu kotor atau sudah hilang kelikatan, prestasi transmisi akan merosot dan boleh menyebabkan kerosakan yang serius.
Pastikan anda menukar minyak transmisi mengikut jadual yang disarankan pengeluar. Biasanya setiap 40,000 hingga 60,000 km.
Gunakan minyak yang berkualiti tinggi dan elakkan membeli produk tiruan atau murah yang boleh merosakkan komponen.
Pemandu yang prihatin biasanya akan menyemak tahap minyak transmisi secara berkala sebagai sebahagian daripada penyelenggaraan kenderaan yang menyeluruh.
9. Elak tekan minyak secara mengejut
Selain itu juga, menekan pedal minyak secara mengejut bukan sahaja dapat meningkatkan penggunaan bahan api, tetapi ia juga membebankan sistem transmisi secara mendadak.
Transmisi automatik direka untuk menukar gear dengan lancar dan jika anda menekan minyak dengan terlalu agresif, ia terpaksa bekerja lebih keras daripada yang sepatutnya.
Amalan ini jika diteruskan dapat menyebabkan kehausan gear dengan lebih cepat dan juga mengurangkan jangka hayat sistem enjin.
Sebaliknya, tekan minyak secara berperingkat untuk pemanduan yang lebih selesa dan mesra kepada komponen dalaman kenderaan anda.
Kesimpulannya, memandu kereta automatik memang mudah jika anda tahu cara untuk menggunakannya dengan betul.
Jangan anggap gear automatik sebagai sistem ‘main tekan dan jalan’ sahaja. Setiap tindakan anda walau sekecil mana pun boleh memberikan kesan yang besar kepada ketahanan jentera kesayangan anda.
Sumber : acko, wikihow
BACA : Guna Telefon Je : Ini 5 Fungsi Canggih Kereta