Cara Lain Sikit, Resipi Kukus Ayam Guna Epal Pun Jadi
Antara semua bahan mentah, ayam merupakan antara bahan yang paling popular dalam dapur masyarakat Malaysia. Tidak hanya mudah diperoleh, malah bahan ini sesuai dimasak dengan pelbagai teknik.
Setiap kaedah memasak sudah tentu memberikan rasa dan tekstur yang berbeza pada isi ayam. Jika ayam digoreng, teksturnya pasti berbeza dengan ayam yang dibuat sup.
Kaedah merebus sering menjadi pilihan terutamanya bagi mereka yang ingin melegakan tekak ketika demam.
Selain itu, ayam yang dibakar pula mempunyai aroma yang berbeza, terutamanya jika dibakar menggunakan arang.
Biarpun jarang dibuat, ayam juga boleh dimasak secara kukus. Jika kena dengan ramuannya, hidangan pasti memikat hati anak-anak.
Kredit: Thread @lilgrilledcheeseCara ini tidak hanya mudah dimasak, malah dapat mengekalkan jus dalam isi ayam sekali gus menjadikan ayam kekal lembut.
Bagi yang ingin mencuba, kali ini SK kongsikan bersama anda satu resipi hasil perkongsian seorang pengguna Thread, @lilgrilledcheese.
Bezanya, resipi ini menggunakan buah epal sebagai penambah rasa semula jadi.
“Mommy ajar teknik buat rebusan ayam natural pakai epal dan kobis, tak pakai perasa ayam pun tak apa,” ujar wanita tersebut.
Ikuti cara kukus ayam yang unik ini di bawah.
Bahan-bahan resipi kukus ayam guna epal
Resipi ini memerlukan sebiji buah epal jenis Fuji, setengah biji kubis Cina (long cabbage), sebiji lobak merah, dua biji bawang merah, halia dan semestinya, ayam.
Kredit: Thread @lilgrilledcheeseSebelum mula memasak, hiriskan buah epal dan kubis. Bawang merah pula boleh dipotong kasar. Begitu juga dengan lobak merah.
Ambil halia sebesar dua jari, dan hiriskan menyenget.
Ayam pula perlu diperap bersama garam dan lada hitam. Boleh juga gunakan lada putih, mengikut citarasa masing-masing. Urutkan ayam bersama bahan tadi sebelum diperap.
Cara kukus ayam
Masukkan semua bahan tadi ke dalam bekas pengukus. Jadikan bahan-bahan sebagai ‘alas’ sebelum meletakkan ayam.
Tutup periuk pengukus dan masak menggunakan api kecil selama 50 hingga 60 minit.
Setelah cukup masa, periksa ayam sebelum api dipadamkan. Ayam kukus menggunakan epal, siap untuk dimakan bersama nasi
Selamat mencuba.