Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Musim sejuk yang melanda beberapa negara Eropah ketika ini menyaksikan suhu menjunam ke paras yang sangat rendah, disertai salji tebal serta pembentukan ais di pelbagai kawasan.
Keadaan cuaca ekstrem itu bukan sahaja menjejaskan aktiviti harian penduduk setempat, malah turut memberi kesan besar terhadap sistem pengangkutan dan pergerakan ekonomi.
Sungai, tasik dan laluan air yang biasanya sibuk digunakan kini berdepan risiko membeku, sekali gus menyukarkan operasi bot dan kapal.
Fenomena ini lazim berlaku di negara beriklim sederhana, namun dalam beberapa keadaan, pembentukan ais boleh menjadi luar biasa sehingga menarik perhatian ramai.
Seorang warga Malaysia, Husna yang kini menetap di sana turut berkongsi pengalaman menyaksikan situasi tersebut.
"Ini bukan berita palsu. Ini betul-betul terjadi, bukan di Greenland atau di kutub utara, ini berlaku di Jerman berdekatan dengan Hamburg. Subhanallah," kongsi wanita berkenaan di laman Thread.
Berada di Bandar Geesthacht, wanita tersebut berpeluang merakam pengalaman sendiri turun ke tebing Sungai Elbe. Menerusi video yang dimuat naik, kelihatan orang ramai mengerumuni tebing sungai tersebut yang penuh dengan bongkah ais gergasi.

"Saya sudah hampir 25 tahun menetap di perantauan. Anak-anak saya tiga orang lahir di Jerman dan seorang di Australia. Kejadian ini belum pernah saya dan suami yang lahir di sini mengalaminya," kongsi wanita tersebut kepada SK.
Katanya, salji sememangnya turun di sana dalam musim sejuk tetapi tidak berpanjangan. Malah, kebiasaannya suhu musim sejuk di sana kebiasaannya sekitar -2 darjah Celcius.
"Pernah -8 atau -10 darjah Celcius namun jarang sekali, tapi tahun ini pernah sampai -17. Sangat luar biasa," maklum wanita tersebut.

Menurutnya lagi, pembentukan bongkah ais gergasi itu berkemungkinan disebabkan suhu rendah melebihi -10 darjah Celcius yang berpanjangan. Ditambah dengan salji yang turun dengan kuantiti banyak, dipercayai menyumbang kepada pembentukan bongkah ais gergasi di sungai berkenaan.
Baru-baru ini, media melaporkan satu fenomena alam luar biasa berlaku di Sungai Elbe, Hamburg, apabila sungai berkenaan dipenuhi blok ais gergasi sehingga menutup hampir keseluruhan permukaan sungai tersebut.
Untuk makluman, Sungai Elbe merupakan antara laluan pengangkutan utama di wilayah tersebut.
Fenomena tersebut turut menjadi perhatian penduduk setempat yang dilihat mengerumuni tebing sungai, teruja menyaksikan bongkah ais gergasi yang terbentuk.
Fenomena ini bukan satu-satunya perkara yang menarik perhatian warga maya.
Sebagai seorang suri rumah dan penghasil kandungan di YouTube, wanita berkenaan sudah terbiasa merakam sambil memberi penjelasan dan komentar secara terus bersama suaminya.
Meninjau komen, ramai yang meluahkan rasa terkejut apabila suami wanita itu didapati mampu bertutur dalam Bahasa Melayu dengan begitu fasih.
"Bukan tengok ais, tengok orang lelaki Jerman fasih berbahasa Melayu," ujar warga maya.
"Saya tak tertarik dengan ais ke, salji ke. Soalan saya, macam mana suami akak masih boleh bercakap Bahasa Melayu dengan fasih sedangkan tinggal di negara sendiri? Sembang gaya orang Malaysia," soal seorang lagi.
"Berita menarik, suara 'wartawan' sedap, orang Jerman cakap Melayu hebat," ulas yang lain.

Rupa-rupanya, suami wanita tersebut pernah menetap di Malaysia buat beberapa ketika semenjak berusia 16 tahun bagi mengikuti program pertukaran pelajar.
"Kebetulan keluarga saya terpilih untuk menjadi keluarga angkatnya. Suami saya menetap selama setahun di Malaysia. Suami saya juga pernah menjalani internship di Malaysia.
"Sebelum kami berkahwin sehingga sekarang, hampir setiap tahun dia akan ke Malaysia. Kami juga pernah menetap selama enam hingga lapan bulan di Malaysia.
"Alhamdulillah, kami sudah 20 tahun berkahwin," kongsi wanita itu.