Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Pancaran Solar Terkuat Selepas 20 Tahun Dipantau, Ini Kesan Pada Bumi
Matahari memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian. Tidak hanya membekalkan cahaya bagi hidupan di Bumi, malah turut menjadi salah satu sumber pembangunan teknologi moden.
Selain daripada menjadi sumber semula jadi aktiviti pengawetan dan pengeringan makanan, sinaran matahari turut berfungsi sebagai pembekal tenaga solar yang memberi pelbagai kebaikan buat manusia.
Peranan besar matahari menjadikan bintang ini tidak sekadar menjadi sumber cahaya dan tenaga, malah turut mempengaruhi pelbagai proses semula jadi serta fenomena di luar jangkaan manusia.
Walaupun di mata kasar kita matahari kelihatan seperti hari-hari biasa, tanpa kita sedar sebenarnya pelbagai fenomena yang melibatkan matahari telah berlaku dari masa ke masa.
Seperti juga kejadian baru-baru ini yang menarik perhatian seluruh dunia apabila satu pancaran solar dikesan.

Tahukah anda, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan Agensi Angkasa Eropah (ESA) ketika ini sedang memantau pancaran solar luar biasa yang berlaku pada 18 Januari lalu.
Pancaran solar ini mencapai intensiti kemuncak pada 19 Januari sehingga mencapai Tahap Empat (S4) dan diklasifikasi sebagai pancaran X1.9.
Sebagai makluman, kelas X menandakan pancaran yang paling kuat. Manakala nombor yang mengikutinya memberikan maklumat lanjut berkenaan kekuatan pancaran tersebut.
Difahamkan, fenomena yang menyebabkan berlaku lentingan jisim korona ini merupakan pancaran terkuat pernah berlaku selepas 20 tahun menurut Pusat Ramalan Cuaca Angkasa (SWPC).
Menurut perkongsian Planetarium Negara, pancaran ini berlaku apabila matahari melepaskan letusan magnet berskala besar.
Kejadian ini mengakibatkan lentingan jisim korona dan nyalaan matahari.
"Tenaga dari lentingan jisim korona dan nyalaan matahari akan berinteraksi dan membuat perubahan pada medan magnet Bumi," maklum Planetarium Negara.
Di angkasa, fenomena ini bakal menimbulkan risiko terhadap kapal angkasa dan angkasawan. Malah, aktiviti penerbangan di laluan polar turut berkemungkinan terkesan dengan peningkatan risiko pendedahan radiasi.
Sementara itu, risiko terhadap sistem pelancaran angkasa lepas dan satelit, khususnya yang berada di orbit geopegun turut meningkat.

Tidak hanya memberi kesan terhadap aktiviti di angkasa, fenomena yang berlaku turut menyebabkan gangguan terhadap aktiviti manusia di Bumi.
Antara kesan yang dapat dilihat dengan jelas termasuk kemunculan aurora yang berkemungkinan dapat dilihat di kawasan Pennsylvania, Iowa dan Oregon, Amerika Syarikat.
Selain itu, gangguan terhadap komunikasi menerusi radio dan grid kuasa elektrik juga berkemungkinan berlaku. Begitu juga dengan isyarat navigasi yang berkemungkinan mengalami gangguan disebabkan pancaran ini.
Biarpun fenomena ini kelihatan seperti sesuatu yang menakutkan, namun jangan risau. Pancaran ini tidak mendatangkan ancaman terhadap manusia yang berada di darat. Hal ini berikutan medan magnet dan atmosfera Bumi yang tebal menyerap radiasi sebelum ia tiba ke permukaan Bumi.