Haji 2025: Jemaah Haji Malaysia Selamat Jalani Pembedahan Jantung
Seorang jemaah haji dari Malaysia, Zurina Mat Hussin, 60, dari Maktab 85, Terengganu, berjaya diselamatkan menerusi pembedahan jantung yang dijalankan oleh pasukan perubatan Arab Saudi.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Zurina mengalami serangan jantung ketika sedang menunaikan ibadah haji dan segera menerima rawatan di King Abdullah Medical City.
Selepas menjalani prosedur perubatan, beliau didaftarkan dalam program pemantauan kesihatan jarak jauh yang dikendalikan oleh Hospital Maya Seha, di bawah seliaan kerajaan Arab Saudi.
Keadaan kesihatannya kini dipantau secara berterusan menerusi penggunaan peranti pintar khas untuk pemantauan jantung.
Hasil rawatan yang diterima membolehkannya menyambung ibadah haji dengan selamat, sementara tahap kesihatannya terus dipantau dari jauh.
Kementerian Kesihatan Arab Saudi turut memaklumkan bahawa kes ini mencerminkan keupayaan perubatan negara itu serta menunjukkan komitmen tinggi kerajaan dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan semua jemaah haji.
BACA: Kempen Kebersihan Masya’ir Diteruskan, Malaysia Raih Pujian Arab Saudi
Sumber: Astro Awani