Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof kembali menghadiri Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini selepas berehat susulan menjalani pembedahan pintasan jantung.
Menerusi hantaran di Facebook, Fadillah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta seluruh rakan Jemaah Menteri atas keprihatinan, doa dan sokongan yang diberikan sepanjang beliau menerima rawatan.
“Saya amat bersyukur dan gembira dapat kembali bersama rakan-rakan Kabinet dalam mesyuarat pada hari ini.
“Semoga kita semua dikurniakan kesihatan yang baik, dilimpahi kesejahteraan berpanjangan dan dapat melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin,” katanya.
Terdahulu, Fadillah selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 12 Ogos lalu.
Beliau dimasukkan ke IJN pada 28 Julai sebelum menjalani prosedur angiogram koronari pada keesokan harinya.
Susulan perbincangan pasukan perubatan pelbagai disiplin, pembedahan pintasan arteri koronari diputuskan sebagai kaedah rawatan paling sesuai untuk beliau.

