Siakap Keli
Panas Terik? Ini 10 Rahsia Sejukkan Rumah Tanpa "Aircond"
Gambar AI

Panas Terik, 10 Rahsia Rumah Sejuk Tanpa “Aircond”

Panas Terik, 10 Rahsia Rumah Sejuk Tanpa “Aircond”

Cuaca panas yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini memberi cabaran yang besar kepada ramai isi rumah.  Terutamanya kepada mereka yang tidak memiliki penghawa dingin (aircond).

Tambahan pula, dengan pengumuman MET Malaysia bahawa suhu kini mencecah sehingga 37 darjah Celsius di tiga negeri dalam tempoh sehari dua ini, maka tidak hairanlah jika suasana dalam rumah terasa seperti berada di dalam ‘ketuhar’.

Udara jadi panas membahang dan segala aktiviti harian terasa terganggu, kan?

Namun begitu, anda tidak perlu berputus asa. Walaupun tanpa aircond, terdapat pelbagai kaedah yang boleh dilakukan untuk memastikan rumah kekal sejuk dan nyaman secara semula jadi.

Apa yang penting ialah anda bijak memanfaatkan teknik penyejukan yang tradisional, pengudaraan yang baik dan susun atur ruang yang betul. Ianya bukan sahaja dapat menjimatkan kos elektrik tetapi juga lebih mesra alam.

Berikut kami kongsikan 10 rahsia yang mudah dan berkesan untuk rumah sejuk tanpa aircond yang sesuai untuk diamalkan oleh semua jenis kediaman:

1. Jiruskan Air di Permukaan Lantai Luar Rumah

Antara cara tradisional yang masih relevan sehingga ke hari ini ialah dengan menjirus air di kawasan lantai luar rumah seperti halaman, serambi, atau kawasan kaki lima pada waktu petang.

Langkah ini dapat membantu menyerap dan mengurangkan haba yang terkumpul sepanjang hari akibat pancaran matahari, terutamanya jika permukaan lantai jenis simen atau jubin.

Apabila air mula tersejat secara perlahan, ia akan menghasilkan kesan penyejukan semula jadi yang membantu menurunkan suhu persekitaran.

Kaedah ini juga secara tidak langsung melembapkan udara sekitar rumah yang mungkin terlalu kering akibat cuaca panas terik.

2. Gunakan kipas dengan kaedah ‘Cross Ventilation’

Memasang kipas bukan sekadar menyejukkan tetapi jika diletakkan dengan strategi yang betul, ia boleh membantu untuk melancarkan aliran udara di dalam rumah.

Gunakan konsep cross ventilation iaitu pengaliran udara silang. Caranya ialah dengan membuka tingkap di dua bahagian yang bertentangan dan letakkan kipas menghala ke luar untuk menolak udara panas keluar.

Dalam masa yang sama, udara sejuk dari luar dapat masuk dan ianya dapat membantu menyejukkan ruang dalaman secara lebih efektif.

Teknik ini juga sangat berkesan di waktu malam apabila suhu luar lebih rendah daripada suhu dalam rumah.

3. Tutup langsir dan tingkap pada waktu tengah hari

Selain itu, cahaya matahari yang terik dapat menembusi kaca tingkap dan memanaskan ruang rumah dengan mudah.

Langkah paling senang ialah menutup langsir atau bidai ketika tengah hari khususnya di tingkap yang menghadap arah matahari. Gunakan langsir blackout atau yang berlapik penahan haba untuk menyekat sinaran UV.

Ini mampu menurunkan suhu ruang dalaman dengan ketara dan mengelakkan haba terperangkap di dalam rumah. Langsir yang betul juga membantu menapis cahaya silau dan memberi suasana yang lebih selesa.

4. Pilih kain dan fabrik yang lebih sejuk

Penggunaan fabrik memainkan peranan penting dalam mengawal suhu di dalam rumah. Gunakan bahan seperti kapas atau linen yang lebih ringan, sejuk dan menyerap peluh untuk cadar, langsir serta kusyen.

Elakkan fabrik berat atau tebal seperti polyester dan baldu kerana ia mudah memerangkap haba.

Dengan memilih fabrik yang sesuai, bukan sahaja rumah terasa lebih sejuk tetapi ruang rumah juga kelihatan lebih lapang dan segar. Pemilihan fabrik juga boleh disesuaikan mengikut tema dekorasi agar ruang tampak lebih harmoni dan moden.

5. Buka tingkap pada waktu malam dan awal pagi

Waktu malam hingga subuh merupakan masa terbaik untuk ‘mengalihkan’ udara panas yang terperangkap di dalam rumah.

Anda disarankan untuk membuka semua tingkap (dengan langkah keselamatan) supaya udara malam yang lebih sejuk dapat masuk dan menyejukkan ruang dalaman.

Udara yang segar pada waktu pagi juga dapat membantu untuk memperbaiki kualiti udara dan memberikan rasa nyaman sebaik sahaja anda bangun dari tidur.

Tambahkan jaring nyamuk pada tingkap untuk membolehkan pengudaraan yang berterusan tanpa risau serangga.

6. Letakkan tumbuhan hiasan dalam rumah

Di samping itu, tumbuhan bukan sahaja mencantikkan ruang tetapi juga berfungsi untuk menyejukkan udara secara semula jadi.

Beberapa jenis tumbuhan seperti sirih gading, lidah jin, pokok buluh air dan pothos sesuai untuk diletakkan di dalam rumah.

Tumbuhan ini dapat membantu untuk menyerap karbon dioksida, menghasilkan oksigen dan mengeluarkan wap air yang menyejukkan suasana persekitaran.

Letakkan tumbuhan tersebut di ruang tamu, dapur atau sudut tingkap untuk kesan optimum. Pastikan tumbuhan mendapat cahaya secukupnya agar ia kekal sihat dan berfungsi dengan baik.

BACA : Guna Telefon Je : Ini 5 Fungsi Canggih Kereta

7. Kurangkan penggunaan peralatan elektrik

Peralatan seperti televisyen, komputer dan dapur elektrik boleh menghasilkan haba walaupun ketika tidak digunakan. Kurangkan penggunaannya terutama pada waktu siang yang panas.

Cabut suis apabila tidak digunakan dan elakkan menggunakan seterika atau ketuhar semasa suhu sedang tinggi.

Untuk memasak, anda boleh guna dapur luar atau peralatan yang lebih efisien seperti air fryer mini yang menjimatkan ruang dan haba. Langkah ini bukan sahaja membantu menyejukkan rumah tetapi turut menjimatkan bil elektrik bulanan.

8. Gunakan warna cat yang cerah untuk dinding

Dinding yang berwarna gelap cenderung menyerap lebih banyak haba berbanding warna cerah. Cat dinding rumah anda dengan warna putih, krim, pastel atau biru lembut untuk memantulkan cahaya matahari dan mengurangkan haba yang masuk.

Selain membantu untuk menyejukkan rumah, ia juga memberi kesan visual yang lebih bersih, luas dan menyegarkan. Warna yang cerah turut mencipta suasana psikologi yang lebih tenang dan nyaman di dalam rumah.

9. Pasang penebat haba di bahagian bumbung

Antara lain, bumbung merupakan kawasan yang paling banyak menerima sinaran matahari terutamanya rumah satu tingkat atau rumah yang tidak berbumbung dua.

Oleh itu, anda perlu memasang lapisan penebat haba seperti aluminium foil insulation, bubble foil atau fiber penebat untuk menghalang haba daripada menembusi ruang dalam.

Walaupun memerlukan sedikit pelaburan, ianya sangat berbaloi dan boleh mengurangkan suhu dalaman sehingga beberapa darjah Celsius.

Langkah ini juga dapat membantu untuk mengekalkan suhu lebih stabil sepanjang hari tanpa bergantung kepada alat elektrik.

10. Tukar lampu kepada jenis LED

Lampu jenis incandescent atau kalimantang juga dapat menghasilkan haba yang tidak diperlukan  terutamanya pada waktu siang.

Anda disyorkan untuk menukar lampu di seluruh rumah kepada jenis LED. Ianya bukan sahaja sejuk tetapi juga dapat menjimatkan tenaga dan tahan lebih lama.

Anda boleh memilih cahaya putih sejuk (cool daylight) untuk suasana yang lebih terang dan tidak menambahkan rasa panas di dalam rumah.

LED juga sesuai untuk pelbagai reka bentuk pencahayaan moden tanpa mengganggu suhu persekitaran.

Oleh itu, sejukkan rumah tanpa aircond bukanlah satu perkara yang mustahil, asalkan anda tahu caranya.

Gabungan antara teknik tradisional, penyesuaian rutin dan pemilihan bahan yang sesuai boleh memberi kesan besar terhadap keselesaan harian walaupun di tengah cuaca panas ekstrem.

Selain menjimatkan kos elektrik, rumah yang sejuk secara semula jadi juga lebih sihat dan lestari untuk jangka panjang.

Sumber : todayshomeowner, womanandhome

BACA : Tip Pilih Pokok “Indoor”, Rumah Nampak Elegan

suhaila

live your best life

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.