JAKIM Kongsi Dua Kisah Di Sebalik Hari Tarwiyah
Dalam 12 bulan Islam, Zulhijjah bukan bulan biasa kerana ia dipenuhi sirah dan ibadah besar seperti haji, korban serta detik penting yang dilalui para nabi.
Antara yang paling istimewa dalam Zulhijjah adalah 10 hari terawal yang dipenuhi dengan peluang pahala.
Dalam 10 hari ini, ada beberapa hari yang lebih menonjol, antaranya Hari Arafah (9 Zulhijjah) dan Hari Tarwiyah (8 Zulhijjah).
Walaupun tak dikenali secara meluas seperti Hari Arafah, Hari Tarwiyah juga menyimpan kisah yang menarik dan banyak pengajaran.
Hari ini SK ingin berkongsi ilmu menarik tentang Hari Tarwiyah sebagaimana yang dimuat naik oleh JAKIM di Facebook. Ikuti perkongsi jabatan itu di bawah ini.

NOTA TARWIYAH: Hari Standby Air & Banyak Berzikir
Hari ni dah masuk hari kelapan dalam bulan Zulhijjah. Dalam kalendar Islam, hari ni ada nama special sikit, Hari Tarwiyah. Haa, nama dia pun dah macam eksklusif kan? Tapi.. apa benda sebenarnya hari Tarwiyah ni?
Jom kita santai-santai selongkar sikit.
Tarwiyah tu apa benda?
Menurut iman Ibn Qudamah (sorang tokoh ilmuwan yang bukan calang-calang), nama “Tarwiyah” ni datang daripada dua cerita klasik zaman dulu:
1. Kisah Air di Mina
Waktu para jemaah haji dah berihram, mereka akan berangkat ke Mina dulu sebelum ke Arafah esoknya. Tapi, nak ke Arafah tu bukan macam nak pergi pasar malam ya. Cuaca panas, perjalanan jauh, air pun kena standby awal-awal. Jadi, jemaah akan persiapkan bekalan air dulu.
Dalam bahasa Arab, proses simpan air ni disebut Yatarowwaun (يتروون). Maka jadilah namanya Hari Tarwiyah. Haa… hari simpan air!
2. Mimpi Nabi Ibrahim AS
Pada malam tu, Nabi Ibrahim AS mimpi dapat “mesej ilahi” suruh sembelih anak sendiri, Nabi Ismail AS. Tapi mimpi tu bukan mimpi biasa. Nabi Ibrahim pun tertanya-tanya, “Ini mimpi dari Allah ke.. atau mimpi dari syaitan?”
Proses tertanya-tanya tu dalam bahasa Arab disebut Yurowwi (يروي). Jadi, sebab Nabi Ibrahim “fikir banyak”, maka hari tu pun dinamakan Hari Tarwiyah.
Pendek kata: hari banyak fikir.
BACA: Perbandaran Makkah Siapkan Rangkaian Pencahayaan Besar-Besaran Sempena Haji
Ada ke amalan power hari ni?
Ada satu hadith yang berbunyi:
“Puasa pada hari Tarwiyah hapus dosa setahun. Puasa pada hari Arafah hapus dosa dua tahun.”
Fuhh, dengar macam best. Tapi… tenang dulu.
Mereka kata, dalam sanad hadith ni ada perawi yang pendusta dan ada juga yang “tak dikenali identiti” (majhul).
Jadi boleh puasa ke tak ni?
Jawapannya: Boleh je!
Sebab ada ulama kata, kalau hadith tu lemah tapi berkaitan dengan fadhilat amalan (bukan hukum wajib/haram) serta permasalahan usul akidah, kita masih boleh amalkan selagi tak bercanggah dengan syarak.
Tambahan pula, kita memang digalakkan buat sebanyak mungkin amalan baik dalam 10 hari terawal Zulhijjah. Dan Tarwiyah ni jatuh dalam tempoh tu. Jadi, nak puasa? Silakan! Nak sedekah? Teruskan! Nak muhasabah diri? Bagus sangat tu.
Jadi, apa kita belajar hari ni?
1. Hari Tarwiyah ada kisah asal dia: hari simpan air + hari Nabi Ibrahim banyak fikir
2. Tak ada amalan khas yang sahih untuk hari ni. Boleh teruskan apa-apa amal soleh. Puasa termasuk dalam pendalilan umum.
3. Berlapang dada dengan perbezaan pendapat pada ulamak terutama dalam perkara cabang (furu’) dan fadhail al-a’mal.
Semoga segala usaha kita hari ni walau kecil, diterima oleh Allah SWT. Amin Ya Rabb!
Wallahua’lam.
BACA: Masjidil Haram Guna Sistem Penyejukan Terbesar Dunia Sempena Musim Haji
BACA: Ini Sebab Kereta Kecil Tak Sesuai Untuk “Jump Start” Kereta Besar
Sumber: Bahagian Dakwah, Jakim via Facebook