JKR Diarah Beri Bantuan Teknikal Dalam Nahas Bas Libatkan Pelajar UPSI – Nanta
KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) — Jabatan Kerja Raya (JKR) diarahkan untuk bekerjasama dengan pihak konsesi penyelenggaraan jalan bagi memberi bantuan dalam bentuk nasihat serta kepakaran teknikal, susulan kemalangan membabitkan bas dan sebuah kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik, awal pagi ini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata langkah itu diambil bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh, dan beliau turut meminta orang ramai memberi ruang supaya siasatan berhubung kejadian yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berjalan lancar.
“Saya dan seluruh pasukan KKR akan terus memantau perkembangan siasatan ini dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan keadilan dan keselamatan awam terjamin,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Difahamkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain awal pagi tadi.
Nanta turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas insiden yang menimpa pelajar UPSI itu, yang disifatkannya sebagai satu tragedi besar kepada negara.
Beliau yang melihat insiden ini sebagai tragedi besar kepada negara, turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa, di samping mendoakan semoga mangsa yang tercedera dalam kejadian itu diberikan kesembuhan segera dan dipermudahkan urusan rawatan.
Beliau berkata pihaknya turut mengikuti rapat perkembangan operasi menyelamat yang melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, polis serta Kementerian Kesihatan.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang telah bertindak pantas dan penuh dedikasi sejak awal pagi tadi,” katanya.
BACA: Bas Bawa Pelajar UPSI Terbalik, 15 Dilapor Maut
BACA: PM Anwar Arahkan KPT Selaras Bantuan Buat Keluarga Mangsa Nahas Di Gerik
BACA: Nahas Bas UPSI: Terengganu Akan Salur Bantuan Segera Kepada Waris Mangsa
Sumber: BERNAMA