Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

6 Faktor Utama Nahas Bas, Lori Sering Berlaku Di Malaysia – MKN

6 Faktor Utama Nahas Bas, Lori Sering Berlaku Di Malaysia – MKN

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan satu tragedi menyayat hati apabila sebuah bas persiaran yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik.

Menurut kenyataan rasmi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), kemalangan tersebut membabitkan seramai 48 orang mangsa.

Daripada jumlah itu, 13 mangsa disahkan maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan.

Jumlah keseluruhan korban kini mencecah 15 orang, sekali gus meninggalkan luka mendalam kepada ahli keluarga mangsa dan seluruh rakyat Malaysia.

Sehingga ke saat ini, negara masih berselubung duka. Ramai yang tertanya-tanya, mengapa insiden tragik sebegini masih kerap berlaku, terutamanya membabitkan kenderaan berat seperti bas dan lori?

Hakikatnya, kemalangan membabitkan kenderaan berat bukanlah sesuatu yang asing di negara kita. Malah, ia sering kali berlaku saban tahun, membabitkan kehilangan nyawa yang besar dan trauma yang mendalam.

Justeru, kami kongsikan beberapa faktor utama yang dikenal pasti oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai penyumbang utama kepada nahas jalan raya yang melibatkan bas dan lori di Malaysia.

1. Keadaan Jalan Raya

Jalan yang tidak rata dan berlubang: Jalan yang tidak diselenggara dengan baik boleh menyebabkan pemandu hilang kawalan.

Rekaan jalan yang tidak sesuai: Seperti selekoh tajam dan cerun yang curam tanpa tanda amaran yang mencukupi.

2. Keadaan Kenderaan

Penyelenggaraan yang tidak mencukupi: Bas dan lori yang tidak diservis dengan baik boleh mengalami kerosakan teknikal seperti brek gagal berfungsi atau tayar pecah.

Kenderaan lama: Kenderaan yang usang lebih cenderung untuk mengalami masalah mekanikal.

3. Sikap dan Tingkah Laku Pemandu

Pemanduan laju: Kenderaan berat seperti lori dan bas memerlukan jarak brek yang lebih panjang dan pemanduan laju meningkatkan risiko kemalangan.

Keletihan pemandu: Pemandu lori dan bas sering bekerja untuk tempoh yang panjang tanpa rehat yang mencukupi, yang boleh menyebabkan keletihan dan kurang tumpuan.

Penggunaan telefon bimbit: Menggunakan telefon bimbit semasa memandu mengalih perhatian pemandu daripada jalan dan lalai.

4. Kesesakan Trafik

Kepadatan lalu lintas: Laluan yang sesak meningkatkan risiko kemalangan kerana kenderaan perlu sering berhenti dan bergerak.

5. Faktor Cuaca

Keadaan cuaca buruk: Hujan lebat, kabus tebal atau jalan licin akibat hujan boleh mengurangkan jarak penglihatan dan cengkaman tayar. Faktor ini  meningkatkan risiko berlakunya kemalangan.

6. Keselamatan dan Penguatkuasaan

Penguatkuasaan berkala: Penguatkuasaan undang-undang lalu lintas dan peraturan keselamatan perlu dijalankan secara berkala agar pemandu sentiasa berdisiplin.

Ketidakpatuhan terhadap peraturan: Peraturan seperti menghadkan muatan berlebihan perlu dipatuhi. Muatan berlebihan boleh menyebabkan kenderaan sukar dikawal dan mudah terbalik.

Penambahbaikan dalam aspek-aspek seperti meningkatkan penyelenggaraan jalan, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mendidik pemandu mengenai pemanduan selamat dan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, diharap dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan bas dan lori di Malaysia.

BACA: Adik Sanggup Tolak Tawaran Universiti Demi Tanggung Kakak Di UPSI

BACA: Jambangan Bunga Hadiah Terakhir Adib Kepada Ibu

BACA: Arwah Sempat Masak Mi Celup Untuk Keluarga – Abang Mangsa Kemalangan Bas Gerik

Sumber: Majlis Keselamatan Negara

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.