Cara Lelaki OKU Penglihatan Nikmati Pemandangan Ketika Melancong Buat Ramai Sebak
Tidak semua orang dapat menikmati dunia dengan cara yang sama. Bagi individu yang mengalami kekurangan upaya penglihatan, pancaindera lain menjadi keutamaan dalam menghargai kehidupan sekeliling. Walaupun terdapat kekangan dari segi penglihatan, tidak bermakna mereka tidak mampu menikmati pengalaman sepenuhnya.
Ramai OKU penglihatan sebenarnya mampu menjalani kehidupan berdikari, malah berani mengejar impian seperti orang lain. Sesetengah mereka memanfaatkan sentuhan, bunyi dan deria bau untuk ‘melihat’ dunia dengan cara tersendiri. Ada juga yang aktif melancong dan mencabar diri untuk merasai keindahan alam bersama pasangan.
Kisah pasangan suami isteri ini membuktikan bahawa kekurangan bukanlah halangan untuk menikmati hidup. Cinta, sokongan dan kefahaman menjadi penggerak utama dalam pengembaraan mereka, termasuk ketika melancong ke luar negara. Ikuti kisah kehidupan yang dilalui pengguna TikTok, Nadia bersama suami tercinta, Razlan.
“Saya edit video ini dengan perasaan sebak yang bangga. Dia sangat berdikari orangnya. Explore dengan cara sendiri. Rancangan perjalanan kami di Thailand, suami yang kaji dan rancang. Saya ikut saja. Terima kasih untuk segalanya, sayang,” kongsi wanita berkenaan.
Ketika ditanya SK, kedua suami isteri ini mula berkongsi hidup tanggal 12 November 2021. Menerusi rakaman yang dikongsikan, pasangan ini nampak begitu mesra dan saling mencintai. Senyuman yang terukir tatkala Razlan memandang ke arah isterinya membuatkan ramai warga maya bergenang air mata.
Menurutnya, perjalanan kali ini bukan kali pertama mereka ke luar negara berdua.
“Kami selalu juga staycation dalam negara. Kalau melancong bersama ke luar negara, ini merupakan kali ketiga,” katanya.
Biarpun rakaman ini dikongsi dengan tujuan menunjukkan usaha Razlan yang kurang upaya penglihatan menikmati pemandangan di luar kereta api, namun warga maya lebih tertumpu kepada kasih sayang yang mekar antara mereka.
Berkongsi lebih lanjut dengan SK, Nadia yang bertugas sebagai seorang guru berkongsi bahawa suaminya mengalami masalah penglihatan sejak lahir lagi. Penglihatannya menjadi semakin teruk dan hilang upaya sepenuhnya ketika berusia 10 tahun.
“Selalunya saya memang akan bercerita apa yang berlaku atau apa yang saya nampak di sekitar kami,” ujarnya.
Ketika ditanya berkenaan aplikasi yang digunakan oleh Razlan, Nadia menerangkan serba sedikit berkenaan aplikasi yang digunakan iaitu Be My Eyes dan beberapa aplikasi lain seperti Seeing AI, Supersense dan VoiceOver Recognition.
“Untuk Be My Eyes, sebenarnya suami saya guna mod yang ambil gambar. Kemudiam aplikasi tu akan describe. Ada beberapa aplikasi lagi suami saya guna untuk aplikasi tu describe di sekeliling sekiranya dia berseorangan. Baca buku secara fizikal pun dia guna aplikasi tu kalau dia baca tanpa saya, dan lain-lain situasi.
“Pengalaman lain dengan suami, dia akan gunakan VoiceOver dekat iPhone. Jadi aplikasi yang digunakan ini membantu untuk describe seperti yang saya beritahu tadi,” kongsinya.
Secara terperinci, Razlan turut berkongsi cara aplikasi-aplikasi ini membantu kehidupan sehariannya.
“Berkenaan Be My Eyes ni, aplikasi ini akan hubungkan antara individu kurang upaya penglihatan dengan sukarelawan. Diorang boleh gunakan kamera telefon untuk diorang dapatkan pertolongan daripada sukarelawan berkenaan visual.
“Fungsi utama aplikasi ini adalah pengguna akan cuba hubungi sukarelawan. Sukarelawan akan tanya apa yang diperlukan oleh pengguna, kemudian huraikan apa yang dia nampak dan melalui kamera tu juga dia boleh beri panduan kepada pengguna tentang arah yang betul, contohnya untuk menghalakan kamera ke arah objek yang ingin diketahui,” hurai Razlan.
Menurutnya, fungsi ini berguna sewaktu pengguna perlukan maklum balas visual masa nyata (real time). Selain daripada itu, aplikasi berkenaan turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mengenal pasti gambar yang dimuat naik pengguna.
“Ia membolehkan pengguna mengambil gambar dan mendapatkan huraian daripada AI tersebut. Yang lebih menariknya, pengguna dapat berinteraksi dengan AI sekiranya lebih banyak maklumat diperlukan, tidak terhad kepada apa yang terdapat dalam gambar yang diambil,” tambahnya lagi.
@mrranggapnnadia Saya edit video ini dengan perasaan sebak yang bangga 🥹🥹 Dia sangat berdikari orangnya. Explore dengan cara sendiri. Itinerary kami di Thailand, suami yang research dan rancang. Saya follow aja🥹 Thanks for everything sayang🌹 #mrranggapnnadia #raiseawarenessfortheblind #explorethailand #relationshipgoals #okupenglihatan
Menerusi ruangan komen, rata-rata warga maya terharu melihat kebahagiaan kedua pasangan ini. Malah, mereka turut mendoakan kesejahteraan buat suami isteri tersebut.
“Pada hari Arafah ini, dengan asbab kasih sayang antara seorang isteri dan suami ini, harap puan dan suami puan dapat masuk ke syurga Allah SWT tanpa hisab dan perolehi syafaat Baginda Nabi SAW,” titip salah seorang warga maya.
“Semoga nanti dekat syurga dia boleh dapat tengok puan puas-puas,” doa seorang lagi.
“Kak, saya lelaki. Senyum dan sebak saya bila tengok dia menoleh kat akak sambil senyum. Senyuman ahli syurga tu kak,” ujar warga maya.
Sumber: Mr Rangga Pn Nadia
BACA: Jambangan Bunga Hadiah Terakhir Adib Kepada Ibu
BACA: Penjual Tempatan Berinovasi Dalam Landskap E-Dagang yang Semakin Melangkaui Persaingan Harga