UPSI Kemas Barang 15 Pelajar, Guna Lori Kontena Hantar Ke Pangkuan Keluarga
Minggu ini, negara dirundung pilu apabila satu kemalangan ngeri berlaku sekitar jam 1 pagi di Gerik, Perak. Kemalangan bas persiaran yang membawa 42 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tersebut tidak hanya menyebabkan kecederaan, malah turut mengorbankan nyawa 15 penuntut universiti berkenaan.
Perjalanan yang bermula di Terengganu dan sepatutnya tiba di kampus institusi pendidikan itu tidak kesampaian apabila bas berkenaan terbalik di pertengahan jalan.
Kehilangan para penuntut muda ini tidak hanya meruntun hati ahli keluarga, malah suasana sebak turut menyelubungi rakan-rakan seperjuangan.
Sebagai khidmat terakhir, rakan-rakan mangsa berganding bahu mengemas barang peribadi milik kesemua mangsa yang masih belum dituntut waris di asrama. Bukan itu sahaja, pihak pentadbiran universiti turut bermurah hati menyediakan sebuah lori kontena untuk menghantar barang-barang tersebut.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok, Nurin Rozaini, sebuah lori kontena dengan logo UPSI berhenti di salah sebuah perkarangan asrama penuntut sebelum barang-barang milik mangsa korban nahas bas tempoh hari dimasukkan ke dalam bahagian badan lori kontena berkenaan.
“Semoga barang-barang selamat sampai ke pangkuan keluarga,” ucap Nurin.
Beberapa orang sukarelawan turut dilihat bekerjasama mengangkat barang-barang peribadi mangsa yang sudah siap disimpan di dalam kotak dan bagasi. Biarpun rakaman tersebut hanya menunjukkan sebahagian daripada operasi penuh berkenaan, ramai warga maya tersentuh hati tatkala menontonnya.
Menerusi ruangan komen, seorang rakan kepada salah seorang mangsa korban muncul meluahkan rasa pilu ketika dia menghulurkan bantuan mengangkat barang-barang milik arwah.
“Angkatkan barang-barang Izyan ke bawah tadi pun tak tahan rasa sebak. Rindu,” luahnya.
@nurinzzz_ semoga barang-barang selamat sampai ke pangkuan keluarga. #upsiberduka #upsi #bas #9jun #gerik #universitipendidikansultanidris
Sumber: Nurin Rozaini
BACA: Komen Jelik Kematian Pelajar UPSI: JPN Arah Sekolah Sedia Laporan
BACA: Tragedi UPSI: Setiap Keluarga Mangsa Terkorban Terima RM10,000 Daripada Kerajaan MADANI – Fahmi