Nahas Gerik: JPJ Akan Buka Kertas Siasatan Heret Pengendali Syarikat Bas Ke Mahkamah
GERIK, 12 Jun (Bernama) — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka kertas siasatan untuk mengheret pengendali syarikat bas yang terbabit dalam kemalangan meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke mahkamah.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tindakan itu boleh diambil atas kegagalan syarikat berkenaan beroperasi mengikut peraturan dan undang-undang ditetapkan.
“Memang sebelum ini pernah ada kes yang kita bawa ke mahkamah melibatkan pengendali walaupun dia bukan pemandu, tetapi sebagai pemilik syarikat pengendali mereka juga ada tanggungjawab.
“Dalam kes ini, memang saya rasa JPJ patut buka kertas siasatan dan selepas itu dirujuk kepada peguam negara,” katanya ketika meninjau lokasi nahas dan keadaan kenderaan yang terlibat di sini hari ini.
Loke berkata syarikat pengendali bas terbabit juga didapati gagal mematuhi komponen mandatori Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA).
BACA: MPP UUM Berjaya Kumpul Derma Lebih RM200K Untuk Mangsa Nahas UPSI
Beliau berkata antara kesemua tujuh komponen mandatori audit JISA, iaitu perlu ada penyelia keselamatan dalam syarikat dan sistem penentu kedudukan global (GPS) bagi memantau kelajuan kenderaan.
“GPS tidak diaktifkan. Ketiga, had maksima lapan jam pemanduan mesti dipatuhi oleh pemandu, dia (pemandu) tiada pemantauan daripada syarikat, keempat, keperluan waktu rehat 30 minit setiap empat jam pemanduan, GPS dipasang dalam semua kenderaan, keenam pula pelan tindakan kecemasan dan ketujuh, hotline syarikat disediakan. Kesemua komponen ini gagal dipatuhi,” katanya.
Terdahulu, pemangku Ketua Polis Daerah Gerik DSP Muhammad Firdaus Abdullah berkata pemilik syarikat berkenaan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik pada 10.30 malam tadi untuk diambil keterangan.
Sumber: BERNAMA