Duduk Di “11A”, Penyanyi Thailand Kongsi Detik Ngeri Terselamat Nahas Udara 1998
Seorang penyanyi terkenal dari Thailand, Ruangsak Loychusak, 47, mengimbas kembali detik ngeri apabila terselamat dalam satu nahas pesawat pada 1998 yang mengorbankan 101 nyawa.
Lebih mengejutkan, beliau mendedahkan satu kebetulan luar biasa apabila mengetahui mangsa tunggal selamat dalam tragedi pesawat Air India baru-baru ini duduk di tempat yang sama dengannya, iaitu nombor 11A.
Untuk info, Ruangsak merupakan antara penumpang Thai Airways penerbangan TG261 yang dalam perjalanan dari Bangkok ke Surat Thani apabila pesawat itu menghadapi masalah semasa mendarat dan terhempas ke dalam kawasan paya.
Nahas tragik itu telah meragut nyawa 101 daripada 132 penumpang serta 14 kru pesawat, manakala 45 lagi cedera.
Ketika berkongsi pengalamannya, Ruangsak berkata beliau berasa sangat terkejut apabila mengetahui Vishwash Kumar Ramesh, rakyat Britain yang menjadi satu-satunya mangsa terselamat dalam tragedi pesawat Air India di Ahmedabad baru-baru ini, juga duduk di tempat 11A.
Tempat duduk itu sama seperti tempat duduknya ketika nahas pada tahun 1998.
“Saya meremang bila tahu mangsa tunggal selamat dalam nahas di India juga duduk di tempat 11A. Itu tempat saya juga ketika nahas dahulu.
“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi itu,” katanya.
Walaupun beliau tidak lagi menyimpan tiket penerbangannya yang malang itu, Ruangsak menjelaskan bahawa laporan akhbar ketika kejadian telah merekodkan nombor tempat duduknya.
Penyanyi itu turut menyifatkan kehidupannya selepas nahas itu sebagai “peluang kedua” yang penuh trauma dan ketakutan.
“Selama 10 tahun selepas nahas itu, saya sukar untuk menaiki kapal terbang. Saya bernafas dengan susah walaupun sistem udara dalam pesawat berfungsi seperti biasa.
“Saya enggan berbual dengan sesiapa dan hanya memandang ke luar tingkap. Saya juga tidak benarkan sesiapa menutup tingkap kerana ia beri rasa selamat kepada saya,” katanya.
Tambahnya, jika terlihat awan gelap atau hujan ribut ketika penerbangan, dia akan berasa sangat cemas seperti sedang berada dalam mimpi ngeri.
“Saya masih ingat bunyi bising, bau bahan api, malah rasa air paya tempat pesawat itu terhempas. Semua itu kekal dalam ingatan saya untuk masa yang lama,” katanya lagi.
BACA: Nahas Air India: Satu-satunya Mangsa Terselamat Imbas Detik Cemas
BACA: Israel Tutup Semua Kedutaan Di Seluruh Dunia
BACA: Angka Korban Nahas Pesawat Air India Meningkat Kepada 274 Orang – Media
Sumber: Daily Mail UK