Bil Melambung? Ini 10 Cara Bijak Jimat Elektrik Rumah Anda
Dalam era kos sara hidup yang semakin meningkat, berjimat cermat bukan lagi satu pilihan tetapi telah menjadi satu keperluan mendesak bagi setiap isi rumah.
Beban kewangan yang kian menekan menuntut kita untuk lebih bijak dalam mengurus perbelanjaan harian termasuklah dalam penggunaan tenaga elektrik di rumah.
Salah satu aspek utama dalam perbelanjaan bulanan yang boleh dikawal dengan mudah dan cepat memberi impak ialah bil elektrik.
Tanpa kita sedari, sebahagian besar tenaga elektrik sebenarnya dibazirkan melalui tabiat harian yang kelihatan remeh seperti membiarkan plug peralatan terpasang walaupun tidak digunakan, menggunakan peralatan elektrik tanpa had masa atau menetapkan suhu penghawa dingin terlalu rendah.
Walaupun nampak kecil, amalan-amalan ini jika dilakukan berulang-ulang boleh menyebabkan peningkatan ketara pada jumlah bil bulanan.
Hakikatnya, kita tidak perlu mengorbankan keselesaan hidup semata-mata untuk berjimat.
Dengan hanya beberapa perubahan kecil yang konsisten dalam rutin harian, anda mampu menikmati penjimatan yang signifikan setiap bulan tanpa menjejaskan kualiti hidup sekeluarga.
Apa yang penting adalah kesedaran, keazaman dan sedikit usaha untuk membentuk tabiat penggunaan tenaga yang lebih efisien.
Oleh itu, artikel ini akan berkongsi 10 tip jimat elektrik di rumah yang bukan sahaja praktikal dan mudah diamalkan malah terbukti berkesan untuk membantu anda mengawal perbelanjaan dengan lebih bijak.
1. Cabut plug peralatan yang tidak digunakan
Walaupun televisyen, pengecas telefon atau microwave telah dimatikan, aliran elektrik tetap berlaku jika plug masih terpasang.
Fenomena ini dikenali sebagai vampire load atau phantom electricity, di mana peralatan dalam mod siap sedia tetap menarik arus elektrik walaupun tidak digunakan.
Jika semua soket tidak penting dicabut secara konsisten setiap hari, anda boleh menjimatkan sehingga 5% daripada bil elektrik bulanan.
Amalan mudah ini sangat berkesan dalam jangka masa panjang. Ramai pengguna tidak menyedari bahawa pengecas telefon yang dibiarkan terpasang sepanjang hari tetap menggunakan tenaga walaupun tiada peranti disambungkan.
Maka, cabutlah plug selepas digunakan sebagai satu langkah kecil yang memberi impak besar.
Elak Bil Melambung? Ini 10 Cara Bijak Untuk Jimat Elektrik di Rumah Anda
2. Tukar lampu rumah kepada LED
Lampu LED bukan sahaja lebih cerah dan tahan lama malah menggunakan tenaga sehingga 80% lebih rendah berbanding lampu biasa seperti mentol pijar atau kalimantang.
LED juga menghasilkan kurang haba dan ini menjadikannya pilihan yang lebih selamat dan sesuai untuk semua ruang dalam rumah.
Walaupun kos permulaan sedikit lebih tinggi, pelaburan ini sangat berbaloi kerana LED mampu bertahan sehingga 25,000 jam berbanding mentol biasa yang hanya sekitar 1,000 jam.
Selain itu, penggunaan LED dapat mengurangkan keperluan pendinginan udara kerana kurang haba dihasilkan. Secara tidak langsung, ia bukan sahaja menjimatkan elektrik tetapi juga menyumbang kepada suasana rumah yang lebih sejuk dan selesa.
3. Guna pemanas air dengan cermat
Selain itu, pemanas air atau water heater merupakan antara peralatan rumah yang menggunakan kuasa elektrik tinggi. Iaitu sekitar 1500W hingga 3000W.
Gunakan hanya ketika diperlukan dan elakkan membiarkannya terpasang sepanjang masa. Jika anda mandi lebih dari satu kali sehari, pertimbangkan untuk mandi air biasa sekurang-kurangnya sekali.
Di negara yang beriklim panas seperti Malaysia, air paip selalunya cukup suam dan selesa tanpa perlu menggunakan pemanas.
Selain menjimatkan bil, mengurangkan penggunaan pemanas air juga dapat membantu untuk memanjangkan jangka hayat alat tersebut. Anda boleh juga mempertimbangkan pemanas air jenis instant yang hanya aktif semasa digunakan.
4. Tetapkan suhu aircond pada 24–26°C
Menetapkan suhu penghawa dingin pada 24°C hingga 26°C bukan sahaja memberikan keselesaan yang optimum malah ianya dapat membantu untuk menjimatkan penggunaan elektrik.
Semakin rendah suhu yang ditetapkan, semakin tinggi penggunaan tenaga kerana kompresor perlu bekerja lebih keras untuk menyejukkan ruang.
Untuk lebih efisien, pastikan ruang tertutup rapat dan gunakan langsir tebal untuk menghalang haba dari luar. Anda juga boleh menggunakan fungsi ‘eco mode’ atau ‘sleep mode’ untuk penjimatan tambahan semasa tidur.
Penggunaan alat pengesan suhu (thermometer) dalam bilik juga boleh membantu anda menyesuaikan tetapan agar lebih tepat dan efisien.
5. Cuci penapis aircond secara berkala
Di samping itu juga, penapis (filter) penghawa dingin yang kotor menyukarkan aliran udara dan menyebabkan unit berfungsi lebih kuat untuk menyejukkan bilik sekali gus meningkatkan penggunaan tenaga.
Anda disarankan untuk mencuci penapis setiap 2 hingga 4 minggu, bergantung kepada kekerapan penggunaan dan tahap habuk dalam persekitaran rumah.
Pembersihan mudah ini boleh dilakukan sendiri dengan mencuci penapis menggunakan air dan sabun lembut.
Penapis yang bersih juga dapat membantu untuk memastikan udara dalam bilik lebih bersih dan sihat terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah pernafasan atau alahan.
Ia juga boleh mengelakkan kos penyelenggaraan tinggi jika komponen dalaman rosak akibat beban kerja berlebihan.
6. Gunakan mesin basuh pada waktu malam
Bagi pengguna yang layak dengan pelan tarif Time of Use (TOU) dari TNB, kadar elektrik pada waktu malam (biasanya selepas jam 10 malam) adalah lebih rendah berbanding waktu siang.
Menggunakan mesin basuh, pengering dan alatan berkuasa tinggi pada waktu ini dapat mengurangkan jumlah caj keseluruhan.
Sekiranya rumah anda tidak berada di bawah pelan TOU, anda masih boleh menjadualkan cucian secara bijak dengan memastikan beban penuh.
Elakkan mencuci pakaian dalam kuantiti kecil terlalu kerap. Mesin basuh automatik dengan teknologi inverter juga disarankan kerana ia lebih jimat tenaga. Jadikan tabiat menjadualkan kerja cucian sebagai satu rutin pintar untuk pengurusan tenaga.
BACA : Tip Pilih Pokok “Indoor”, Rumah Nampak Elegan
7. Pasang Timer atau Smart Plug pada peralatan elektrik
Smart plug atau pemasa automatik juga dapat membantu anda menetapkan waktu tutup untuk peralatan seperti TV, modem, WiFi, pengecas telefon dan set-top box. Ini sangat berguna terutamanya pada waktu malam ketika peralatan ini dibiarkan ‘standby’ tanpa digunakan.
Anda boleh menetapkan agar plug tertutup sendiri selepas tengah malam atau pada waktu anda sudah keluar bekerja.
Sesetengah smart plug juga membolehkan anda untuk memantau penggunaan tenaga setiap peralatan secara real-time melalui aplikasi mudah alih.
Selain menjimatkan, ia juga dapat membantu anda lebih sedar tentang tabiat penggunaan elektrik harian.
8. Guna kipas sebelum pasang aircond
Sebelum terus menghidupkan aircond, cuba sejukkan bilik terlebih dahulu menggunakan kipas siling atau kipas berdiri. Ini dapat membantu untuk menurunkan suhu awal dan mempercepatkan proses penyejukan apabila aircond digunakan.
Jika menggunakan kedua-duanya sekali, kipas boleh membantu edaran udara sejuk menjadi lebih sekata. Ini membolehkan anda menetapkan suhu aircond pada tahap yang lebih tinggi.
Gabungan kipas dan aircond terbukti lebih efisien dan mampu mengurangkan tekanan pada unit penyejuk. Anda juga akan dapati bilik terasa lebih selesa dalam masa yang lebih singkat.
9. Masak guna peralatan yang efisien
Antara lain, peralatan seperti pressure cooker, air fryer, atau induction cooker menggunakan tenaga yang lebih cekap dan memendekkan tempoh memasak.
Contohnya, pressure cooker dapat memasak lauk seperti daging dalam masa kurang daripada 30 minit berbanding 1 jam menggunakan dapur biasa. Selain menjimatkan elektrik, ia juga dapat menjimatkan masa dan mengekalkan khasiat makanan.
Gunakan penutup ketika memasak bagi mengelakkan haba keluar dan mempercepatkan proses memasak. Pilih peralatan memasak yang mempunyai label cekap tenaga (Energy Star) untuk hasil yang terbaik.
10. Pantau penggunaan melalui aplikasi myTNB
Aplikasi myTNB juga membolehkan anda untuk memantau penggunaan elektrik secara harian, mingguan dan bulanan serta membandingkan penggunaan dari bulan ke bulan.
Ini dapat memudahkan anda untuk mengenal pasti waktu puncak penggunaan dan mengambil tindakan pembetulan jika perlu. Anda juga boleh menetapkan bajet bulanan dan menerima notifikasi jika penggunaan hampir melepasi had.
Aplikasi ini sangat berguna bagi mereka yang mahu melihat corak penggunaan secara terperinci dan membuat perancangan tenaga lebih efektif.
Dengan pemantauan berkala, anda lebih peka terhadap peralatan mana yang menggunakan tenaga paling banyak dan boleh mula mengurangkannya secara strategik.
Sebagai kesimpulan, amalan penjimatan elektrik ini bukan sahaja dapat membantu untuk mengurangkan beban bil bulanan anda, malah ianya dapat menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dengan mengurangkan pembaziran tenaga.
Dengan mengamalkan tip untuk jimat elektrik di rumah secara konsisten, anda bukan sahaja dapat menjimatkan wang, tetapi juga dapat membentuk gaya hidup yang lebih bertanggungjawab.
Sumber : nrdc, energy.vic
BACA : 8 Perkara Pantang Dilakukan Semasa Memandu Kereta Auto