Zeekr, kumpulan kenderaan tenaga baharu premium terkemuka di dunia telah melantik Carro sebagai pengedar sahnya yang terbaru di Malaysia.
Kedua-dua syarikat tersebut telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di kedai flagship Carro di Puchong, Malaysia pada 16 Jun 2025.
Menurut Zeekr, pihaknya berkomitmen untuk memacu masa depan pengangkutan dengan teknologi terkini dan pelantikan terbaru ini mencerminkan komitmen kuatnya dalam memastikan pelanggan dapat dengan mudah mengakses dan memiliki Kenderaan Elektrik (EV).
“Respons positif yang kami terima dari pasaran Malaysia sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini mencerminkan peningkatan penghargaan terhadap kenderaan elektrik premium Zeekr.
“Momentum ini mengukuhkan komitmen kami untuk memperluaskan kehadiran kami di Malaysia dan perkongsian kami dengan Carro merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha tersebut untuk meningkatkan lagi rangkaian jualan serta kemampuan selepas jualan kami bagi menyokong pelanggan dengan lebih baik.
“Kerjasama ini turut selari dengan strategi perniagaan lebih besar kami ketika bersiap untuk melancarkan model seterusnya yang penting, iaitu Zeekr 7X,” kata Alex Bao, Pengarah Pengurusan Zeekr Asia Tenggara.
Carro merupaka pasaran automotif dalam talian terbesar di Asia Pasifik dan platform kereta terpakai yang paling dipercayai di Malaysia.
Kolaborasi ini menandakan satu lagi batu lonjakan penting bagi syarikat automotif unicorn tersebut apabila mereka melanjutkan operasi jualan kereta baharu ke pasaran lain.
Sebelum ini pada Mac 2025, Carro di Singapura telah mula menjual kereta-kereta import selari yang disokong oleh jaminan dan perkhidmatan selepas jualan secara dalaman oleh Carro Care serta kemudahan kewangan dalaman oleh Genie Financial Services.
“Ini merupakan satu langkah yang sangat mengujakan bagi kami kerana kami kini dapat menawarkan lebih banyak pilihan kenderaan kepada pelanggan kami di Malaysia.
“Kami melihat pasaran di Malaysia untuk kenderaan hibrid dan elektrik semakin berkembang dengan infrastruktur yang terus dibangunkan serta pengecualian cukai yang telah diperkenalkan dan kami bersedia untuk menyediakan perkhidmatan ini kepada rakyat Malaysia yang berminat untuk beralih kepada kenderaan EV.
“Pakar kami dalam sektor EV turut membolehkan kami menjalankan pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan dengan baik dan kami sangat gembira kerana Zeekr telah menjadi rakan kongsi kami,” kata Fong Hon Sum, Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Pasaran Antarabangsa di Carro.
Pemilik kereta Zeekr kini boleh menantikan aksesibiliti dan keselesaan yang lebih baik dalam jangka panjang dalam sektor EV memandangkan mereka akan menerima jaminan piawaian pengedar selain daripada mendapat akses kepada rangkaian penuh perkhidmatan Carro dari hujung ke hujung, termasuk perkhidmatan pembiayaan, selepas jualan serta insurans melalui Genie Financial Services, Carro Care dan Coverro.
Pada masa ini, terdapat tiga buah galeri pameran dikenali sebagai Zeekr Space yang terletak di Petaling Jaya dan IOI Mall Puchong.
Selain itu, Zeekr juga merancang untuk membuka empat lagi galeri pameran Zeekr Space (di Juru Autocity, Lembah Klang dan Seremban) serta tiga bengkel Carro Care yang berdaftar melalui kerjasama dengan Carro.
Zeekr membuat langkah pertamanya di Malaysia pada Disember 2024 menandakan kemunculan rasminya dengan dua model iaitu MPV 009 dan SUV model X.
Kedua-dua kenderaan premium ini terkenal dengan teknologi kenderaan elektriknya, ruang dalaman yang luas serta pengalaman pengguna yang luar biasa.