Kontroversi Liga Futsal Perdana Malaysia Curi Perhatian Ramai
Tanpa disedari, satu insiden yang tidak diingini telah mencemari perjalanan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) Divisyen 2 yang dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hujung minggu lalu.
Pada hari perlawanan ketujuh, timbul satu kontroversi melibatkan sebuah pasukan yang dikatakan berdepan masalah kewangan, hingga menyebabkan perlawanan dibatalkan selepas beberapa pemain bertindak memboikot aksi tersebut.
Apakah sebenarnya yang berlaku?
Perlawanan antara pasukan Pulau Pinang dan Nilai City yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu lalu terpaksa dibatalkan selepas pasukan Nilai City gagal menghadirkan jumlah pemain yang mencukupi ke venue perlawanan.
FAM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kehadiran pemain Nilai City tidak mencukupi untuk meneruskan perlawanan.
Lebih membimbangkan, insiden sama berulang apabila hanya lima pemain Nilai City turun beraksi menentang Kelantan di Arena Futsal FAM, semalam. Mereka terpaksa bermain selama 40 minit tanpa sebarang pertukaran pemain dan akhirnya tewas 0-4.
Keletihan jelas terpampang pada wajah kelima-lima pemain tersebut sepanjang aksi berlangsung.
Rakaman kejadian itu turut tular di TikTok dan mengundang pelbagai reaksi daripada peminat sambil menganggap ia seperti liga amatur berbanding liga profesional.
Menurut sumber, pasukan Nilai City dikatakan sedang berdepan masalah kewangan termasuk tunggakan gaji pemain, namun setakat ini belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak.
BACA: Landasan LTAK Ditutup Sementara Susulan Insiden Melibatkan Pesawat TUDM
Sumber: Stadium Astro