Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Tip Pilih Kasut, Elak Sakit Kaki & Rasa Menyesal
Kasut bukan sekadar pelengkap gaya. Ia adalah pelindung utama kepada salah satu anggota yang paling penting dalam kehidupan seharian kita iaitu kaki.
Sama ada anda sedang berjalan ke tempat kerja, berdiri lama di dapur, bersukan, berjalan jauh semasa bercuti atau hanya bersantai di pusat beli-belah, kasut memainkan peranan yang besar dalam kehidupan harian. Ia juga turut menentukan tahap keselesaan dan kesihatan tubuh anda secara keseluruhan.
Namun begitu, ramai yang masih memilih kasut hanya berdasarkan rupa dan harga tanpa mengambil kira faktor seperti struktur kaki, jenis aktiviti, material kasut dan kesesuaian tapak.
Hasilnya, kaki melecet, lenguh tumit, sakit sendi lutut malah ada juga yang menanggung masalah postur badan dalam diam akibat pemilihan kasut yang salah.
Malangnya, semua itu hanya disedari selepas kasut dibeli dan dipakai dan waktu itu sudah pun terlambat untuk berpatah balik.
Berikut kami kongsikan beberapa tip unik dan jarang disebut tetapi sangat berguna apabila anda ingin membeli dan memilih kasut sama ada untuk bekerja, bersantai, bersukan atau melancong.
Kebanyakan orang tidak sedar bahawa kaki manusia sebenarnya membesar sedikit pada waktu petang disebabkan aktiviti harian dan suhu badan yang meningkat.
Oleh itu, waktu yang terbaik untuk mencuba kasut adalah sekitar jam 4 petang hingga 7 malam. Ini kerana pada masa inilah saiz kaki berada pada tahap maksimum semula jadi.
Mencuba kasut pada waktu pagi mungkin menyebabkan anda memilih saiz yang terlalu ketat untuk dipakai lama. Jadi, untuk elakkan rasa sempit dan kaki melecet, rancang sesi membeli kasut anda pada sebelah petang.
Ini 10 Tip Power Untuk Anda Pilih Kasut, Elak Sakit Kaki & Rasa Menyesal
2. Ketahui jenis tapak kaki anda
Setiap individu mempunyai bentuk tapak kaki yang berbeza. Sama ada tapak rata (flat foot), lengkung biasa (normal arch) atau lengkung tinggi (high arch).
Perbezaan ini sangat mempengaruhi jenis kasut yang anda perlukan. Sebagai contoh, mereka yang mempunyai flat foot memerlukan kasut dengan sokongan tambahan di bahagian tengah tapak.
Manakala tapak kaki jenis high arch pula memerlukan lebih banyak padding untuk menyerap hentakan. Anda boleh lakukan ujian cap air di rumah.
Caranya ialah basahkan kaki anda, pijak atas kertas dan perhatikan bentuknya. Dari situ, anda boleh tentukan jenis kasut yang paling sesuai untuk struktur kaki anda.
Ini mungkin kedengaran pelik, tetapi mencuba kasut dengan stokin sendiri adalah langkah penting yang ramai orang terlepas pandang. Jenis dan ketebalan stokin sangat mempengaruhi kesesuaian kasut.
Jika anda ingin membeli kasut sukan, ana perlu memakai stokin sukan sebenar yang anda gunakan yang membuat anda selesa.
Jika anda mencari kasut pejabat, bawa stokin nipis formal. Dengan mencuba kasut bersama stokin yang sebenar, anda akan mendapat rasa yang lebih tepat dan mengelakkan rasa sempit atau longgar selepas dibeli.
4. Dengar bunyi tapak kasut
Selain itu juga, salah satu tip unik yang sering digunakan oleh kaki kasut tegar ialah mendengar bunyi tapak kasut ketika berjalan di lantai licin.
Kasut yang terlalu berbunyi ‘ketak-ketak’ mungkin menggunakan tapak yang keras, licin dan tidak fleksibel. Ini boleh menjadi masalah jika anda bekerja di pejabat senyap atau perlu berjalan banyak sepanjang hari.
Sebaliknya, tapak yang lebih senyap dan mempunyai daya cengkaman lebih baik akan memberikan keselesaan serta keselamatan semasa berjalan terutamanya di permukaan basah atau berjubin.
BACA : Kunci Kereta Hilang? Ini 5 Langkah Bijak Perlu Anda Buat
Semasa memilih kasut, jangan hanya lihat luaran atau jenama. Luangkan masa untuk memeriksa bahagian dalam, tepi dan tapak kasut.
Kasut yang berkualiti tinggi biasanya mempunyai jahitan yang kemas, lurus dan tidak tercabut. Jika anda nampak lebihan gam, benang terkeluar atau sambungan yang tidak sekata, itu petanda bahawa kasut tersebut mungkin tidak tahan lama.
Pilih kasut yang mempunyai kemasan rapi terutamanya jika anda membelinya untuk kegunaan harian atau kerja. Kualiti buatan yang baik bukan sahaja tahan lama tetapi juga dapat memberikan sokongan yang lebih baik kepada kaki anda.
6. Jangan terpedaya dengan rasa selesa saat pertama kali pakai
Antara lain, ada juga sesetengah kasut yang terasa sangat selesa ketika mula-mula dicuba tetapi menjadi menyakitkan selepas dipakai dalam jangka masa lama.
Ini berlaku apabila kasut terlalu lembut atau tidak memberi sokongan struktur yang mencukupi kepada kaki. Oleh itu, selepas mencuba kasut, cuba berdiri, berjalan sekeliling kedai dan buat sedikit lenturan kaki.
Rasai sama ada kasut tersebut benar-benar menyokong tumit, tapak tengah dan jari kaki. Jangan terus beli hanya kerana “rasa ok sekejap”.
Langkah berjaga-jaga ini penting untuk elakkan kecederaan otot atau ketidakselesaan yang berpanjangan terutama jika kasut dipakai setiap hari.
Tidak dinafikan reka bentuk dan warna memainkan peranan dalam pilihan kasut. Tapi awas, jangan beli kasut hanya kerana ia nampak cantik.
Kasut tumit tinggi, pointed toe atau kasut yang bertapak keras mungkin kelihatan bergaya. Tapi jika anda perlu memakainya selama berjam-jam setiap hari, ia boleh menjadi mimpi ngeri untuk kaki anda.
Sentiasa seimbangkan antara gaya dan fungsi. Jika anda mahu tampil bergaya, cari kasut dengan rekaan ergonomik yang masih mengekalkan elemen fesyen moden.
8. Goncang kasut sebelum beli
Tip ini mungkin jarang diamalkan, tetapi sebenarnya sangat berguna. Sebelum membuat pembelian, pegang kasut dengan tangan dan goncangkan sedikit.
Kasut yang berkualiti tidak akan berbunyi longgar, getah tidak tertanggal atau mempunyai bunyi ‘klik’ aneh. Ia juga memberi anda rasa keteguhan pada binaan keseluruhan kasut.
Kasut yang longgar walaupun belum dipakai boleh menunjukkan bahan dalaman yang tidak stabil dan berisiko cepat rosak.
Dengan melakukan ujian mudah ini, anda dapat mengelakkan pembaziran wang pada kasut yang tidak tahan lama atau tidak selamat digunakan.
Di samping itu, berat kasut juga memainkan peranan yang besar terhadap tahap keletihan anda sepanjang hari. Jika anda seorang yang banyak berjalan atau berdiri lama, elakkan kasut yang berat dan bertapak tebal tanpa tujuan.
Pilih kasut yang ringan tetapi masih kukuh, terutamanya jika anda membeli untuk melancong atau bekerja.
Kasut berat akan membebankan kaki dan menyebabkan keletihan lebih cepat. Walaupun sedikit perbezaan berat mungkin nampak remeh di awalnya, namun ia akan sangat dirasai selepas beberapa jam pemakaian.
Akhir sekali, jika anda membeli kasut secara dalam talian, pastikan anda membaca dengan teliti polisi pemulangan dan penukaran saiz.
Kasut adalah item yang sangat sensitif terhadap saiz dan keselesaan. Gambar yang cantik tidak menjamin ia sesuai di kaki anda.
Pilih penjual atau laman web yang menawarkan pulangan percuma atau pertukaran saiz dalam tempoh tertentu. Lebih baik lagi jika mereka menyediakan carta saiz yang tepat mengikut sentimeter (CM) dan panduan pengukuran kaki.
Sebagai kesimpulan, membeli kasut yang sempurna memerlukan lebih daripada sekadar memilih saiz dan warna yang anda suka.
Ia adalah gabungan antara pengetahuan tentang kaki sendiri, fungsi kasut, keselesaan jangka panjang dan sedikit pemerhatian teknikal.
Dengan mengamalkan tip-tip unik untuk memilih kasut seperti yang kami kongsikan ini, anda bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran wang, tetapi juga dapat menyelamatkan kaki anda daripada kesakitan dan ketidakselesaan.
BACA : Ini 10 Setting iPhone Yang Boleh Jimat Bateri
Sumber : FootCareMD, cityfoothealth