Cipta Sejarah, Mohd Wassof Juara Kejohanan Muaythai Asia
VIETNAM – Kapten skuad Muaythai kebangsaan, Mohd Wassof Rumijam, mengukir sejarah apabila dinobat sebagai Juara Muaythai Asia selepas menewaskan lawannya dari Kazakhstan dalam perlawanan akhir Kejohanan Muaythai Asia dengan kemenangan meyakinkan 3-0.
Berita gembira ini disampaikan oleh Setiausaha Eksekutif Muaythai Malaysia, Tengku Rozaini menerusi laman Facebook peribadinya.
Wassof terpaksa bertanding dalam kategori 54kg selepas kategori asalnya 48kg-51kg bakal disertai Rifdean pada temasya Sukan SEA akan datang. Perubahan kategori ini tidak menjejaskan persembahan beliau apabila tampil cemerlang sepanjang kejohanan.
Petarung berkenaan mara ke peringkat akhir selepas menundukkan lawannya dari Filipina di separuh akhir. Terdahulu, Wassof memperoleh kemenangan percuma ke atas atlet Iraq di peringkat suku akhir.
Sebagai kapten pasukan, Mohd Wassof turut diberi penghormatan membaca ikrar mewakili semua atlet Asia. Penghormatan ini diterima berikutan Malaysia bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Muaythai Dunia pada tahun 2026.
Petarung wanita, Eva Anatasia pula menunjukkan aksi bertenaga dalam final kategori 48kg wanita. Walaupun tewas tipis kepada peninju Kazakhstan, beliau tetap mempamerkan prestasi memberangsangkan dan membawa pulang pingat perak buat negara.
Dua lagi wakil negara, Asyraf dan Angie YJCC, bakal beraksi di pentas akhir esok selepas berjaya melepasi pusingan awal masing-masing. Penyertaan mereka membuka peluang kepada Malaysia untuk menambah pungutan pingat.
Menurut maklumat yang dikongsikan menerusi laman Facebook Muaythai Malaysia, kontinjen negara terdiri daripada enam atlet dan tiga pegawai. Mereka selamat tiba di daerah Thai Nguyen, Vietnam pada 20 Jun lalu dan akan berada di sana sehingga 26 Jun 2025.
Lebih 35 negara mengambil bahagian dalam kejohanan ini yang dijadikan medan pendedahan awal bagi persiapan ke Sukan SEA 2025. Ia bukan semata-mata untuk memburu pingat emas, tetapi turut menjadi platform pemilihan ke Sukan SEA Thailand di bawah kategori A Majlis Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia.
Kejohanan ini juga dijadikan asas sebelum latihan pusat bermula dan sebelum penyertaan ke beberapa sirkit profesional selepas ini.
Difahamkan, Anugerah Shakam menawarkan insentif sebanyak RM10,000 kepada mana-mana atlet yang berjaya membawa pulang pingat emas di peringkat Asia bawah badan IFMA atau FAMA.
Kejohanan ini menjadi pencetus semangat buat skuad Muaythai negara dalam misi menuju kejayaan di pentas antarabangsa.
Sumber: Tengku Rozaini, Muaythai Malaysia
BACA: Jaguh Muaythai, Rifdean Masdor Menang Debut ONE Championship Dengan TKO
BACA: “Lutut” Lawan Hingga TKO, Muslim Ahmad Menang Aksi Sulung Muay Thai