Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Risikan AS Dakwa Serangan Tidak Musnahkan Program Nuklear Iran
Media Amerika Syarikat (AS) pada Selasa melaporkan bahawa menurut individu yang mengetahui penemuan Agensi Risikan Pertahanan (DIA), serangan udara hujung minggu lalu tidak berjaya memusnahkan keseluruhan sistem sentrifug Iran atau stok uranium yang telah diperkaya.
Menurut laporan itu lagi, serangan hanya menutup pintu masuk ke beberapa fasiliti tanpa memusnahkan bangunan bawah tanah.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt mengesahkan ketulenan penilaian tersebut.
“Kebocoran penilaian ini adalah satu percubaan jelas untuk merendah-rendahkan Presiden Trump dan mencemarkan imej juruterbang tentera yang telah melaksanakan misi untuk memusnahkan program nuklear Iran.
“Semua orang tahu apa yang berlaku apabila anda menjatuhkan empat belas bom seberat 30,000 paun secara tepat ke sasaran: kemusnahan total,” kata Leavitt menerusi kenyataan di platform X.
Pengebom B-2 milik AS telah mengebom dua tapak nuklear Iran dengan bom pemusnah kubu GBU-57 yang sangat besar pada hujung minggu lalu, manakala sebuah kapal selam peluru berpandu menyerang tapak ketiga dengan peluru berpandu Tomahawk.
Trump menyifatkan serangan itu sebagai kejayaan ketenteraan yang menakjubkan dan berkata ia telah menghapuskan tapak-tapak nuklear Iran, manakala Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth menyatakan bahawa tentera AS telah memusnahkan program nuklear Iran.
Namun, Jeneral Dan Caine, pegawai tertinggi tentera AS, memberikan kenyataan yang lebih berhati-hati dengan berkata serangan tersebut telah menyebabkan kerosakan yang amat teruk terhadap fasiliti nuklear Iran.
“Rancangan untuk memulakan semula fasiliti tersebut telah disediakan lebih awal, dan strategi kami adalah untuk memastikan pengeluaran serta perkhidmatan tidak terjejas,” kata Ketua Organisasi Tenaga Atom Iran, Mohammad Eslami dalam kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen negara.
Sementara itu, seorang penasihat kepada Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, berkata bahawa negara itu masih memiliki simpanan uranium yang telah diperkaya dan bahawa “permainan ini masih belum berakhir”.
Israel telah melancarkan kempen serangan udara secara besar-besaran terhadap tapak-tapak nuklear Iran, saintis serta pegawai tertinggi tenteranya pada 13 Jun, dalam usaha untuk memperlahankan kemajuan program nuklear Tehran.
Trump sebelum ini telah menghabiskan beberapa minggu untuk mencari penyelesaian diplomatik bagi menggantikan perjanjian nuklear yang dimansuhkannya pada 2018, namun akhirnya memilih jalan ketenteraan.
Operasi AS ini dijalankan secara besar-besaran, dengan Jeneral Caine menyatakan bahawa lebih 125 pesawat terlibat termasuk pengebom stealth, jet pejuang, pesawat tangki pengisian minyak udara, kapal selam peluru berpandu serta pesawat risikan, pemantauan dan peninjauan.
BACA: Presiden Iran Umum “Perang 12 Hari” Tamat
BACA: Iran Sedia Berunding Dengan AS Berdasarkan Kerangka Antarabangsa – Pezeshkian
BACA: Netanyahu Dakwa Israel Capai Kemenangan Bersejarah
Sumber: AFP via France24