Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Cukai Jangan Bebankan Rakyat Terbanyak – PM Anwar

Azizah Najib
saluran diplomatik kerajaan
Kredit: Anwar Ibrahim

Cukai Jangan Bebankan Rakyat Terbanyak – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepada Jemaah Menteri agar cukai yang dilaksanakan tidak membebankan rakyat terbanyak.

Perkara berkenaan disampaikan ketika perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, semalam.

Menerusi sesi yang sama, beliau menegaskan tidak menjadi masalah bagi rakyat mengkritik tindakan dan keputusan yang dilakukan berkenaan peluasan cukai.

“Saya tidak ada masalah orang menegur dan mengkritik. Kalau boleh jangan ada cukai sama sekali, lebih baik.

“Bayangkan satu negara yang tak ada cukai sama sekali, tak ada sekolah, tak ada lah nak naik gaji penjawat awam.

“Jadi cukai bagi kita kalau boleh janganlah bebankan rakyat terbanyak,” kata beliau.

Terdahulu, kerajaan telah mengumumkan peluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).

Menerusi siaran media Kementerian Kewangan (MOF) bertarikh 27 Jun lalu, kerajaan telah membuat penelitian dan mengambil kira maklum balas rakyat terhadap pelaksanaan SST yang diumumkan pada 9 Jun 2025.

Menurut MOF, kerajaan kekal bersedia untuk memastikan semakan semula SST bersifat progresif serta mengurangkan sebaiknya kesan terhadap barangan keperluan asas rakyat dan beban yang ditanggung perniagaan kecil.

Sehubungan dengan itu, tiga pindaan utama kepada peluasan SST telah diumumkna dan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.

Pindaan tersebut merangkumi pengecualian Cukai Jualan terhadap buah-buahan import terpilih iaitu buah epal, oren, limau mandarin dan kurma.

“MOF ingin menggariskan bahawa Kerajaan MADANI tidak mengenakan Cukai Jualan ke atas barangan keperluan harian bagi meringankan tekanan kos sara hidup rakyat terbanyak,” tegas kementerian berkenaan.

Selain daripada itu, barangan keperluan harian sama ada dihasilkan dalam negara mahupun diimport turut dikecualikan daripada Cukai Jualan.

Barangan tersebut termasuk beras, ayam, daging lembu, sayur-sayuran dan telur. Ikan tempatan seperti selar, tongkol, cencaru dan sardin, sama ada dalam bentuk sejuk beku, sejuk dingin atau segar, juga akan terus dikecualikan.

Dalam pada itu, peluasan skop Cukai Perkhidmatan tidak akan diteruskan kepada perkhidmatan rawatan kuku dan wajah serta perkhidmatan gunting dan dandanan rambut.

Sumber: Anwar Ibrahim, Kementerian Kewangan

BACA: Senarai Perkhidmatan CIMB Yang Dikenakan Caj SST 8%

BACA: Apa Itu Cukai Jualan? Ini Senarai Barangan Asas Yang Tidak Dikenakan & Dikenakan Cukai