Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

PTPTN Tawar Wang Pendahuluan Pinjaman Kepada 31,850 Pelajar Baharu Universiti Awam, Politeknik
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus menunjukkan komitmen dalam membantu pelajar melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) apabila menawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 kepada 31,850 pelajar baharu Universiti Awam (UA) dan Politeknik bagi kemasukan sesi Julai 2025.
Bantuan kewangan awal ini bertujuan menampung sebahagian perbelanjaan persiapan pelajar sebelum memulakan pengajian, sekali gus memastikan kebajikan mereka terpelihara.
“WPP ini diberikan kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima WPP semasa membuat permohonan kemasukan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan UA.
“Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar juga merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan,” jelas PTPTN menerusi kenyataan rasmi.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1999 sehingga 31 Mei 2025, WPP telah memanfaatkan seramai 990,638 pelajar dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.46 bilion.
Bagi sesi Julai 2025, PTPTN memperuntukkan sebanyak RM47.8 juta khusus untuk pelajar Diploma yang berjaya melanjutkan pengajian ke UA dan Politeknik.
“Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan boleh menunaikan WPP tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 2 Julai 2025 dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan).
“Tempoh sah laku WPP adalah selama dua (2) bulan bermula 2 Julai 2025 hingga 1 September 2025,” maklum PTPTN.
Dalam sesi tersebut, beliau menyerahkan sendiri surat tawaran WPP kepada pelajar yang layak, disertai oleh Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Puan Wan Zawiah Wan Abu Bakar, dan Pengurus Cawangan PTPTN Pulau Pinang, Cik Rusnani Othman.

“PTPTN sentiasa komited untuk memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi. Inisiatif pemberian WPP PTPTN ini adalah untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar baharu memasuki UA dan Politeknik.
“Di Negeri Pulau Pinang seramai 1,419 orang pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan berjumlah RM2.13 juta. Manakala, bagi kawasan Bukit Gelugor pula, seramai 87 pelajar telah ditawarkan WPP melibatkan peruntukan berjumlah RM130,500.
“Tahniah dan syabas kepada semua pelajar-pelajar di atas kejayaan melangkah ke menara gading. WPP PTPTN yang diterima oleh para pelajar ini haruslah digunakan dengan sebaik mungkin. Tunjukkanlah rasa syukur dan terima kasih dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan kepada negara,” kata Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim.
Untuk info, pelajar yang ingin memohon pinjaman pendidikan PTPTN digalakkan melakukannya secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan institusi masing-masing.
Pemohon juga perlu memiliki akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi yang sama.
Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar di universiti dan politeknik masing-masing atau terus berhubung dengan PTPTN.
Maklumat lanjut mengenai WPP dan pinjaman pendidikan boleh diperoleh dengan mudah, cepat dan selamat melalui aplikasi myPTPTN.
BACA: Harga Runcit RON97, Diesel Turun 3 Sen Seliter
Sumber: PTPTN