Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

AS Berharap Gencatan Senjata 60 Hari Di Gaza Dapat Dicapai Akhir Minggu Ini
ISTANBUL — Amerika Syarikat (AS) berharap perjanjian gencatan senjata selama 60 hari di Semenanjung Gaza akan dapat dimuktamadkan menjelang hujung minggu ini susulan kemajuan dalam rundingan tidak langsung antara pihak-pihak terlibat, lapor Anadolu Ajansi.
Utusan Khas AS bagi Misi Keamanan, Steve Witkoff, berkata dalam satu mesyuarat Kabinet bersama Presiden Donald Trump bahawa perkembangan positif telah dicapai dalam rundingan yang berlangsung sejak dua hari lalu.
“Kami bermula dengan empat isu utama, dan kini hanya tinggal satu. Oleh itu, kami berharap menjelang akhir minggu ini, satu perjanjian akan dicapai untuk melaksanakan gencatan senjata selama 60 hari,” katanya.
Di bawah cadangan perjanjian itu, Witkoff memaklumkan seramai 10 tebusan yang masih hidup dan sembilan yang telah meninggal dunia akan dibebaskan.
Witkoff menyatakan harapan agar langkah ini akan membuka jalan kepada keamanan berkekalan di Gaza.
Sementara itu, Trump menyifatkan situasi di Gaza sebagai satu tragedi dan berkata isu tersebut akan menjadi topik utama dalam pertemuannya bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada hari yang sama.
“Saya, Netanyahu dan Hamas, semua mahu isu ini diselesaikan,” katanya,
Dalam kenyataan berasingan di Kongres, Netanyahu menegaskan bahawa Israel belum selesai dengan operasinya di Gaza.
Beliau menekankan keperluan untuk membebaskan semua tebusan, serta melumpuhkan keupayaan ketenteraan dan pemerintahan Hamas.
Sejak serangan tentera Israel ke atas Gaza bermula pada Oktober 2023, lebih 57,500 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh, majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Serangan tanpa henti itu turut memusnahkan infrastruktur Gaza, menyebabkan krisis makanan dan penularan penyakit.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Sumber: Anadolu Ajansi